• Sunday, 20 June 2021, 10:53 am

Tindakan pantas jiran berjaya bantu polis berkas tiga penjenayah

 Tindakan pantas jiran berjaya bantu polis berkas tiga penjenayah

KULAI, 6 Jun — Tindakan pantas seorang lelaki yang menghubungi polis apabila menyedari rumah jirannya di Jalan Matahari, Indahpura di sini dipecah masuk berjaya memberkas tiga suspek yang terlibat.

Lelaki berkenaan membuat aduan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 2.40 pagi semalam yang memaklumkan rumah jirannya sedang dipecah masuk.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis daripada Team Lejang bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, berdasarkan tunjuk arah daripada suspek itu, polis membuat serbuan di tiga lokasi berlainan di sekitar daerah ini dan berjaya menahan dua rakan suspek yang kedua-duanya berusia 22 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil daripada jenayah pecah rumah.

“Berdasarkan siasatan awal, ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam lima kejadian pecah rumah di sekitar Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine selain kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Beng Yeow berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *