Tindakan Mazlan tidak jejas peluang Bersatu, PRN Johor

 Tindakan Mazlan tidak jejas peluang Bersatu, PRN Johor

MUAR, 28 Januari – “Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin.”

Demikian reaksi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila ditanya tentang tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU Johor yakin tindakan Mazlan yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tebrau itu tidak akan menjejaskan persiapan parti berkenaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurutnya, keputusan yang dibuat bekas Pengerusi BERSATU Johor itu juga tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun terbubar.

“Dia nak masuk UMNO? Dia fikir UMNO akan calonkan dia? Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum DUN terbubar, itu cerita lain.

“Sekarang ini sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahajalah. Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN)? Kenapa tidak 200,000 orang,” soalnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) Johor di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, di sini semalam.

Mazlan hari ini mengumumkan keluar parti dan meletak jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Tebrau dan mengiystiharkan menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Mazlan sepatutnya tidak mengambil langkah berkenaan kerana bekas Pengerusi BERSATU Johor itu juga memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

“Kita ini bukan pendendam, tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai Exco dalam kerajaan kononnya atas nama BERSATU memikirkan di manakah pendirian dia.

“Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, PN tidak akan memberi laluan mudah kepada BN untuk memenangi PRN Johor.

Katanya, kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah menunjukkan rakyat menolak parti berkenaan adalah antara faktor yang perlu diambil kira.

“Saya ambil pendirian bahawa walaupun PN ‘underdog’, kita tidak boleh memberi laluan mudah kepada UMNO untuk membentuk kerajaan negeri begitu sahaja.

“Saya mengingatkan dalam PRU pun mereka kalah dan dapat dilihat orang Johor sudah bertindak begitu yang membuktikan mereka (rakyat) peka tentang apa yang mereka mahu,” katanya. – ENDS

habis

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

16  −  11  =