Timbalan Pendakwa Raya kecewa Guan Eng dua kali tak hadir perbicaraan rasuah di mahkamah

 Timbalan Pendakwa Raya kecewa Guan Eng dua kali tak hadir perbicaraan rasuah di mahkamah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR, 14 Dis — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak hadir pada perbicaraan rasuahnya melibatkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang hari ini kerana beliau telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani beberapa prosedur perubatan.

Peguam utamanya Gobind Singh Deo memaklumkan perkara ini kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi sejurus selepas perbicaraan dipanggil pada kira-kira 9.30 pagi.

Peguam itu berkata anak guamnya dimasukkan ke hospital pada Ahad, sebelum terus memohon maaf atas ketidakhadiran Ahli Parlimen Bagan itu di mahkamah, memetik laporan Malay Mail hari ini.

“Ia adalah sesuatu di luar kawalan kami dan saya memohon maaf,” katanya, sambil menambah anak guamnya telah diberi surat cuti sakit tiga hari oleh doktor IJN.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak pembelaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini walaupun Lim tidak hadir.

“Terdapat tiga saksi rasmi yang pihak pendakwaan bercadang untuk memanggil dan kami okay dengan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin kemudian berkata walaupun pihak pendakwaan bersetuju dengan keadaan Lim, pihaknya kecewa kerana tertuduh telah memilih untuk dimasukkan ke hospital satu hari sebelum perbicaraan dijadualkan bersambung.

“Kami kecewa kerana dia berjumpa doktor pada 7 Dis dan memilih untuk dimasukkan ke hospital pada 12, sehari sebelum perbicaraan ini dijadualkan bersambung semula.

“Dia tahu perbicaraan telah ditetapkan dari 13 hingga 17 Dis tetapi dia memilih untuk dimasukkan ke hospital pada 12 Dis.

“Kami tidak mahu menjadikan ini sebagai isu besar tetapi dia harus lebih bertanggungjawab ketika menetapkan tarikh pemeriksaannya dan semua itu,” katanya, sambil menambah sebelum ini kes itu juga telah dikosongkan kerana Lim terpaksa dikuarantin selepas menjadi kontak rapat dengan orang positif Covid-19.

Azura kemudian berkata walaupun mahkamah memahami bahawa masalah kesihatan mungkin tidak dapat diramalkan, tertuduh harus mengelak daripada menetapkan tarikh pemeriksaan perubatan ketika perbicaraan ditetapkan.

Beliau kemudian memerintahkan agar perbicaraan diteruskan dengan tiga saksi rasmi yang dijadualkan memberi keterangan untuk meneruskan keterangan mereka.

Ini adalah kali kedua Lim tidak hadir untuk perbicaraannya. Yang pertama adalah pada bulan September apabila perbicaraan ditangguhkan selepas Lim tidak dapat menghadiri prosiding kerana kontak rapat dengan orang yang positif Covid-19.

Lim didakwa meminta rasuah daripada syarikat itu yang dianugerahkan kontrak untuk melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion yang kontroversi.

Ahli politik berusia 60 tahun itu didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan sebagai balasan, akan membantu syarikat Zarul, Zenith Construction Sdn Bhd dilantik untuk melaksanakan projek itu.

Guan Eng yang merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang, juga dituduh menyalahgunakan kuasanya untuk mendapatkan rasuah RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik syarikat Zarul untuk melaksanakan projek itu.

Beliau juga menghadapi dua pertuduhan tambahan menyalahgunakan harta dengan melupuskan dua plot tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada Ewein Zenith Sdn Bhd dan Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat dikaitkan dengan projek terowong.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  54  =  61