Timba telaga, tangkap ikan dalam ‘keleboq’

 Timba telaga, tangkap ikan dalam ‘keleboq’

Oleh Mohd Kamal Ahmad

PERLIS : Sekarang musim kemarau di negeri ini dan aktiviti menarik untuk dilakukan ialah menimba telaga atau tali air. Lubuk itu dihuni pelbagai spesies ikan air tawar. Tradisi ini semakin dilupakan tetapi belum terlewat untuk dipergiatkan dan mesti dibudayakan semula.

Menimba telaga lazimnya bermula sebelah petang. Sekumpulan penduduk yang melibatkan sehingga 10 keluarga, akan memilih lubuk yang dikenal pasti ada banyak ikan. Biasanya setiap kampung ada pasukan penimba telaganya. Ada lubuk yang dipajak kepada kumpulan penimba telaga dengan bayaran RM200 hingga RM500 bergantung kepada saiz.

Pak Kim (kiri) dan rakan menunjukkan tangkapan dari aktiviti menimba

Untuk misi menimba, tiap seorang ahli telah ditetapkan tugasnya. Ada yang memasang khemah dan membersihkan tapak perkhemahan. Beberapa orang lagi pergi mengenal pasti lokasi untuk diletakkan jentera pam air dan ada yang menyediakan tempat membersih serta menyiang ikan. Selepas itu, ada beberapa ahli yang perlu memasak juadah makan malam disusuli dengan solat Maghrib berjemaah dan usrah. Pada petang itu, mereka mandi ala kadar menggunakan air dalam tong yang dibawa atau mandi di sungai berdekatan.

Untuk musim kemarau kali ini, Wacana.my mendapat kerjasama dan maklumat aktiviti daripada aktivis Perlis Mountaineering Savior (PEMOS) yang menimba telaga di Kampung Terus Teritip dekat Kuala Perlis.

Pengasas PEMOS, Salikin Che Selimen atau Pak Kim, berkata beliau mengambil inisiatif menggerakkan sekumpulan anak muda atas kesedaran memulihara alam dan budaya tempatan Perlis untuk melakukan aktiviti menimba telaga bagi menghidupkan semula aktiviti yang telah menjadi tradisi masyarakat kampung di Perlis.

Antara ikan yang berjaya ditangkap dalam aktiviti menimba

“Ia adalah aktiviti turun temurun yang dilakukan selepas selesai musim menuai padi yang mana cuaca sekarang adalah kering dan panas. Menimba telaga biasanya dilakukan secara bergotong-royong. Telaga atau kolam dan tali air adalah kawasan paling sesuai untuk aktiviti ini dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa dahulu, kolam atau tali air akan dikeringkan dengan  menimba air keluar menggunakan tenaga manusia sepenuhnya sehingga air kering dan dan ikan-ikan akan ditangkap. Kini, dengan penggunaan jentera pam air, ia sedikit sebanyak memudahkan aktiviti ini dilakukan.

“Kami bermalam di lokasi dan aktiviti menangkap ikan dalam keleboq (selut atau lumpur) dimulakan pada sebelah awal pagi esoknya. Ini bukan sekadar aktiviti mengisi masa terluang tetapi di sebaliknya ialah semangat permuafakatan selain pembahagian tugas dan hasil dilakukan secara adil serta kolektif,” katanya.

Sementara itu, pengasas Rumah Kafe Balbuk, Arafat Hambali berkata, “Ikan tangkapan seperti ruan (haruan), keli, sepat, puyu, uni, lampam dan toman biasanya diasingkan sebelum diagih sama rata kepada semua peserta,” katanya.

Pada sebelah malam, mereka akan berbincang isu semasa sambil menikmati kopi panas, makanan ringan serta mee segera. Unggun api yang sederhana dinyalakan menggunakan jerami padi kering.

“Ada juga kumpulan penimba yang berjaga sepanjang malam atau istilah di Perlis disebut ‘berembun sampai ke pagi’,” kata Arafat lagi.

Mulai awal pagi, mereka mula menangkap ikan selepas air dalam tali air yang diempang, kering. Ikan ditangkap dan dimasukkan ke dalam tong. Biasanya, aktiviti itu selesai kira-kira jam 10 atau 11 pagi ketika mana cuaca panas semakin terasa dan mereka akan mandi di sungai.

Sementara itu, Pak Kim berkata, team memasak ketika itu sudah menyediakan hidangan. Antara lauk yang disajikan ialah keli goreng, sepat asam pedas, haruan bantut, puyu gulai dan ada pekasam.

“Paberet (favorite) saya puyu bakar. Ikan ini dibakar tanpa dibuang sisiknya,” katanya.

Ditanya apakah masakan haruan bantut, beliau berkata, ianya adalah ikan haruan berempah yang dibakar dengan sisiknya sekali.  Ramuannya ialah kelapa parut, serai, kunyit hidup, cili, bawang merah dan putih serta garam dan serbuk perasa. Semua ini ditumbuk kasar dan disumbat dalam haruan yang dibelah.

“Ikan haruan itu kemudian dibakar dan dihidangkan untuk makan…,” katanya sambil memberitahu, pengakhiran aktiviti menimba telaga ialah menikmati makan tengah hari di lokasi dengan lauk ikan yang ditangkap.

Mereka biasanya turut membawa pulang ikan yang telah dibahagi-bahagi dan berada di rumah sebelum waktu solat Zuhur.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

81  −    =  72