Tiga suspek pecah rumah cedera terjun jejambat

 Tiga suspek pecah rumah cedera terjun jejambat

ISKANDAR PUTERI 23 JUN 2021. Pihak polis memeriksa kereta Perodua Myvi milik suspek yang dipercayai terjun dari atas jejambat. Sumber Gambar dari PDRM

ISKANDAR PUTERI – Tindakan nekad tiga daripada empat suspek pecah rumah yang terjun dari jejambat di Jalan Tampoi, berdekatan Plaza Angsana dekat sini semalam hanya sia-sia.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tindakan itu membawa padah apabila suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun itu berjaya ditahan dan turut mengalami kecederaan patah tangan, bahu dan pinggang.

ISKANDAR PUTERI 23 JUN 2021. Antara peralatan dan barran peribadi yang terdapat dalam kereta Perodua Myvi ketika ditahan. Sumber Gambar dari PDRM

“Sebelum kejadian, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta Perodua Myvi di tepi Jalan Seri Orkid, berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini pada jam 4.45 pagi.

“Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kenderaan tersebut supaya berhenti, namun tidak diendahkan dan terus memecut ke arah jalan besar Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semasa dikejar pihak polis, kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi dan kereta itu berjaya ditahan.

Semasa tangkapan dibuat, tiga suspek cuba melarikan diri dan terjun dari jejambat berhampiran lokasi tersebut, namun berjaya ditahan dan tiga suspek terbabit mengalami kecederaan.

Hasil siasatan lanjut mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

ISKANDAR PUTERI 23 JUN 2021. Kereta Perodua Myvi milik suspek. Sumber Gambar dari PDRM

Pihak polis merampas dua helmet, sebuah radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong, dua telefon bimbit, sebatang pemotong bunga, sepasang sarung tangan, sebatang pemutar skru, sebatang penukul dan sebatang pembuka boleh laras serta kereta tersebut.

“Kesemua suspek disyaki telah melakukan kes pecah rumah di kawasan Jalan Bakti, Mutiara Rini.

“Tiga suspek yang mengalami kecederaan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  60  =  62