Tiga jam pindah gajah jantan

 Tiga jam pindah gajah jantan

Gajah jantan yang ditangkap dibersihkan terlebih dahulu oleh anggota Bomba dan Penyelamat sebelum dipindahkan.

ROMPIN, 28 November 2021 – Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh mengambil masa tiga untuk memindahkan seekor gajah jantan kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri, di sini hari ini.


Operasi bermula sembilan pagi bersama 24 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) PKGK Kuala Gandah dan UTG Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dibantu kakitangan Perhilitan Rompin berjalan lancar.


Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, operasi hari ini dibantu dua gajah denak Kasturi dan Cheri yang berjaya mengawal dengan baik gajah liar berusia antara 15 hingga 20 tahun.
Menurutnya, gajah jantan dengan berat kira-kira 1.5 tan dan ukuran tapak kaki 2.5 sentimeter itu mempunyai sepasang gading.

Gajah jantan yang ditangkap (tengah) dipindahkan dengan bantuan dua gajah denak, Cheri (kiri) dan Kasturi.

Haiwan terbabit dipercayai keluar daripada kawasan habitat untuk mencari makan dan terpisah daripada kumpulan.
Katanya, gajah terbabit dipercayai sebelum ini menghuni Hutan Simpan Lesong, di sini kemudian keluar masuk ke Hutan Simpan Menchali sebelum tersesat ke kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri.


“Operasi hari ini berjalan lancar tanpa banyak masalah terutama apabila kedudukan gajah liar berada dalam hutan kecil dan hampir dengan jalan utama dalam kawasan perumahan terbabit.


“Gajah denak Kasturi dan Cheri hanya perlu menarik gajah liar berkenaan kira-kira 100 meter untuk naik ke atas lori,” katanya, di sini.

Gajah jantan yang ditangkap (kiri) dipindahkan keatas lori dengan bantuan gajah denak, Cheri.


Turut sama memantau operasi memindahkan gajah jantan berkenaan Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin. Che Ku Mohd Zamzuri berkata, pihaknya akan memindahkan gajah terbabit ke hutan Taman Negara Terengganu. Kali terakhir pihaknya menangkap gajah di daerah ini pada 2014 di Kampung Sepakat.


Katanya, memandang serius kehadiran gajah di kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri kerana ia boleh mengancam keselamatan penduduk setempat, kejadian buruk boleh berlaku pada bila-bila masa terutama pada waktu malam.


“Dalam tempoh 11 bulan tahun ini kita telah menangkap dan memindahkan sebanyak kira-kira 72 gajah di semenanjung termasuk 14 ekor di Pahang,” katanya.


Sementara itu Ketua Kampung Perumahan Nelayan Sungai Puteri, Rosly Abd Mutalib, 44 berkata, penduduk bersyukur dengan kejayaan PKGK Kuala Gandah menangkap gajah yang sebelum muncul di kampung mereka.

Ketua Kampung Perumahan Nelayan Sungai Puteri, Rosly Abd Mutalib.


“Saya bagi penduduk mengucapkan terima kasih kepada PKGK Kuala Gandah dan Perhilitan yang bersusah payah menangkap dan memindahkan gajah jantan berkenaan, penduduk kampung memberi nama ‘Awang Roma’,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

73  −  71  =