• Monday, 21 June 2021, 2:16 am

Tiga gajah liar ditangkap di Simpang Renggam

 Tiga gajah liar ditangkap di Simpang Renggam

Tiga gajah liar ditangkap Perhilitan Johor susulan aduan penduduk di Batu 43, Kampung Pinggir, Simpang Renggam, Kluang, semalam.

Oleh Nurman Nasyriq

KLUANG, 1 Jun – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menangkap tiga gajah yang berkeliaran di Batu 43, Kampung Pinggir, Simpang Renggam, semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, pihaknya bertindak selepas mendapat aduan penduduk yang bimbang keselamatan ekoran kehadiran binatang berkenaan.

“Lapan anggota unit tangkapan gajah Perhilitan Johor terbabit dalam operasi itu. Gajah pertama dapat diikat kira-kira jam 1.30 tengah hari disusuli tangkapan seterusnya pada 2.15 dan 2.50 petang.

“Ini dilakukan dalam operasi khas yang dijalankan selepas kumpulan gajah dilihat berada dalam kebun berhampiran Hentian Sebelah Simpang Renggam,” katanya ketika dihubungi.

Salman memberitahu, tiga gajah tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan gajah tersesat ke kawasan berkenaan sejak seminggu lalu.

“Kawasan konflik gajah ini berlaku di sekitar Kampung Sri Timur, Felda Kahang Barat/Timur, Taman Sri Impian, Mardi Kluang, Ladang Sungai Kahang, Ladang Ulu Remis, Ladang Renggam, Felda Layang-Layang, Kampung Bukit Nyamuk, Kampung Bukit Kenangan dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Pihaknya akan menjalankan pemantauan sehingga gajah berkenaan dipindahkan ke habitat baharu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *