Tiga ‘boron’ mega Tuas tumpas

 Tiga ‘boron’ mega Tuas tumpas

Oleh Mohd Kamal Ahmad

SINGAPURA, 5 Mac: Dua  lubuk di perairan Southern Island dekat Tuas di sini, ternyata dihuni spesies kerapu mega. Ini dibuktikan oleh sekumpulan pemancing tempatan yang berjaya memunggah beberapa ekor kerapu kertang atau boron dari lubuk di situ, minggu lalu.

Ekspedisi enam jam itu diketuai Fendi Roromendut disertai Azmi Azizi, Ahmad Osman, Aliman dan Rizal dengan menaiki bot Giantblack dikemudi oleh tekong Hidhir yang berpangkalan di jeti Sungai Pandan.

Perjalanan ke lokasi pertama  mengambil masa kira-kira 45 minit. Lubuk itu merupakan laluan kapal Tuas. Mereka bertandang di situ kira-kira tiga jam di antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Namun yang sudi menjamah umpan dan dapat dinaikkan hanya seekor kerapu seberat 2 kilogram (kg) oleh Azmi menggunakan jig Green eye squid.

“Misi kami ke lokasi itu hanya untuk memancing kerapu mega. Ikan-ikan saiz kecil tidak ada di sana. Kami juga menggunakan umpan tiruan saiz besar supaya ikan kecil tidak menyambarnya,” kata Fendi.

Justeru beliau memberitahu, umpan yang digunakan adalah metal jig saiz 11.0, 14.0 dan 16.0 sahaja iaitu Madai Metal 300 gm yang rambu-rambu hampir menyerupai sotong dan Tenya Metal 250 gm warna oren yang dilengkapi mata kail.

Menurut beliau, kerapu mega lazimnya berhijrah lubuk. “Bulan Oktober dia masuk perairan Singapura. Bulan Mac dia masuk perairan Johor,” katanya.

Selepas tiga jam di laluan kapal Tuas dan tiada lagi mangsa yang sudi menyambar jig, Giantblack dikemudi oleh Hidhir menuju lubuk kedua iaitu Tuas Pipeline. Di situ, Azmi sekali lagi menunjukkan prestasi baik apabila berjaya mendaratkan kerapu mega 11 kg ke dalam bot dalam tempoh 10 minit sahaja.

Menjelang penghujung waktu kunjungan kira-kira jam 5 petang, Ahmad Osman berjaya memunggah kertang seberat 17 kg dalam pertarungan sengit selama 12 minit selepas menyambar jig Octopus.

Tangkapan itu meletakkan Ahmad Osman sebagai pendahulu ranking ekspedisi tersebut.

Petang itu mereka naik ke jeti dengan bergaya. Tiga kerapu masing-masing dibawa pulang oleh Ahmad Osman, Azmi dan Rizal. Fendi bagaimanapun tidak mahu membawa pulang kerapu mega itu.

“Orang rumah tengok ikan besar, dia tak nak makan. Masak pun tak nak,” jawabnya berseloroh.

Beliau memberitahu, ekspedisi balik hari seterusnya ialah datang semula Southern Island dalam masa terdekat ini dengan matlamat memburu spesies lain.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

13  −    =  6