• Sunday, 20 June 2021, 8:46 am

‘Tiga Beradik’ muncul  bila Ramadan

 ‘Tiga Beradik’ muncul  bila Ramadan

Siti Hasimah Sheikh Nordin dan suaminya, Amir Yaakob menghasilkan Kuih Tiga Beradik tiap kali Ramadan

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 29 April – Tiap kali Ramadan, kuih ‘Tiga Beradik’ pastinya menjadi antara juadah utama berbuka puasa bagi masyarakat di beberapa daerah di Pahang.

Produk tradisional Pahang itu terdiri daripada tiga jenis kuih berbeza iaitu kuih badak kubang, dodol kukus dan kuih pepena atau turut dikenali sebagai pena.

Siti Hasimah Sheikh Nordin sedang menyediakan adunan Kuih Tiga Beradik untuk dikukus

Pengusahanya, Siti Hasimah Sheikh Nordin, 48, berkata, kuih tiga beradik hanya akan muncul setiap kali Ramadan sahaja manakala pada bulan lain amat sukar ditemui.

Katanya, proses membuat tiga jenis kuih berkenaan tidak terlalu sukar cuma perlu kesabaran untuk menguli selain memastikan santan yang digunakan benar-benar segar supaya kuih berlemak dan menarik.

Walaupun berbeza nama namun kaedah membuat kuih badak kubang, dodol kukus dan kuih pepena hampir sama. Bermula dengan bancuhan, menguli tepung, membentuk dan akhir sekali mengukus selama 15 minit.

“Sambutan terhadap kuih tiga beradik amat menggalakkan sepanjang Ramadan kali ini, peminatnya kebanyakan terdiri daripada dewasa dan warga emas.

“Rasa yang berlemak dan sedikit manis menjadi kelebihan yang dapat membangkitkan selera berbuka puasa,” katanya yang berasal dari Kampung Telok Melati, Chenor, Maran.

Beliau berkata, kuih Tiga Beradik yang dihasilkan hampir 100 peratus resepi tradisional berasal daripada Kampung Chenor, cuma campuran gula dikurangkan bagi menjaga kesihatan pengguna.

Siti Hasimah berkata, Ramadan kali ini beliaumenjual kuih Tiga Beradik di kawasan tapak jual kuih di Taman Seri Inderapura, di sini termasuk pasar malam ditempat sama setiap khamis.

Setiap hari sepanjang Ramadan, beliau dan suaminya Amir Yaakob, 58, menyediakan antara 150 hingga 200 bungkus kuih Tiga Beradik untuk dijual termasuk ada juga yang menempah.

Satu set kuih Tiga Beradik dijual RM9 dan pelanggan boleh membuat pilihan sekiranya ingin memilih jenis yang tertentu sahaja.Permintaan kini lebih pada kuih badak kubang.

“Saya berbangga dapat meneruskan tradisi menjual kuih yang hampir pupus ditelan zaman ini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *