• Thursday, 17 June 2021, 1:45 pm

Tiga anggota PGA ditahan peras ugut pasangan kekasih

 Tiga anggota PGA ditahan peras ugut pasangan kekasih

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan kerana memeras ugut sepasang kekasih dalam sebuah kereta di Tambak, Pontian di sini pada malam Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga anggota PGA itu berpangkat Lans Koperal dan berusia antara 27 hingga 33 tahun.

“Mereka mengugut pasangan kekasih berkenaan supaya memberikan mereka wang sebanyak RM5,000 sekiranya tidak mahu diambil tindakan dan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

“Disebabkan ketakutan, seorang mangsa mengeluarkan wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank dan menyerahkannya kepada anggota berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Anggota PGA itu turut meminta gelang dan cincin emas yang dipakai mangsa wanita sebagai cagaran berikutan wang yang diberikan tidak cukup RM5,000.

Kedua-dua mangsa yang dilepaskan itu kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat, polis menahan tiga suspek berkenaan pada hari yang sama, gelang dan cincin emas dirampas semula daripada seorang suspek.

“Ketiga-tiga suspek juga sudah didakwa pagi ini mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana ugutan di Mahkamah Majistret Kulai.

“Bagaimanapun kesemua suspek mengaku tidak bersalah dan diberi jaminan RM7,000 setiap seorang sementara menanti perbicaraan,” katanya.

Tegas Ayob Khan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan sebarang jenayah dan salah laku.

Beliau memberitahu, berdasarkan statistik dari Januari hingga hari ini seramai 54 individu membabitkan lima pegawai kanan polis dan 49 pegawai rendah telah dikenakan tindakan tatatertib.

“Lapan anggota dan pegawai polis Johor sudah dibuang kerja, 59 ditahan kerja, 14 digantung kerja manakala 72 lagi menunggu perbicaraan atas tindakan tata tertib yang diambil dalam tempoh sama kerana melakukan jenayah termasuk dadah, samun dan memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *