Tiga Abdul teruja ke sekolah esok

 Tiga Abdul teruja ke sekolah esok

Kembar tiga dari kiri Abdul Raqib, Abdul Raauf dan Abdul Rafik tidak sabar melangkah ke alam persekolahan esok

Oleh Nurman Nasyriq

PONTIAN, 28 Feb: Pasangan kembar tiga mengakui tidak sabar menyarung pakaian seragam sekolah untuk memasuki tahun 1 di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya dekat Pekan Nanas di sini, esok.

Abdul Raqib, Abdul Raauf dan Abdul Rafik, 7,  tidak sabar bersekolah sejak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada bulan lalu.

Bapanya, Abdul Razak Abd Wahab, 41, berkata tiga beradik itu menunjukkan minat mendalam terhadap sesi pembelajaran sambil dibantu kakaknya, Rabiatul Adawiah, 17.

“Sebenarnya, saya agak risau soal keselamatan mereka yang memulakan persekolahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jadi, sebagai persiapan, kami akan membekalkan mereka dengan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan tisu pengelap sanitasi. Cikgu sekolah juga banyak memberi pendedahan dan mengajar mereka mengenai COVID-19 serta penjarakan fizikal di sekolah nanti,” katanya hari ini.

Ibu ‘Tiga Abdul’ itu, Susilawati Sahruddin, 36, pula bimbang keadaan Abdul Rafik yang menghidap ‘cerebral palsy’ dan bagaimana dia dapat menyesuaikan diri esok.

“Saya berpesan kepada Abdul Raqib dan Abdul Raauf untuk membantu adiknya dari segi pergerakan dan pembelajaran. Dia tak boleh berdiri lama dan memerlukan bantuan.

“Saya berharap mereka dapat masuk kelas yang sama supaya dapat membantu antara satu sama lain. Bagaimanapun, ia bergantung dengan penilaian cikgu mereka,” katanya.

Keluarga ini membelanjakan kira-kira RM1,500 bagi membeli keperluan pakaian sekolah, membiayai yuran sekolah dan sekolah agama, buku dan keperluan sekolah yang lain.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  54  =  62