• Sunday, 20 June 2021, 3:12 pm

Tidak sempat buka puasa, rumah terbakar

 Tidak sempat buka puasa, rumah terbakar

Oleh Nurman Nasyriq

MERSING – Sepasang warga emas yang sedang bersiap untuk berbuka puasa sunat terkejut apabila rumah mereka terbakar di Kampung Jemari, Pengkalan Batu di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7.10 petang, warga emas tersebut menyedari api marak dari salah sebuah bilik anaknya.

Pasangan berkenaan dan dua anaknya kemudian menyelamatkan diri dan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Kampung Jemari, Pengakalan Batu, Mersing, malam tadi.

Seramai 16 anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Azhari Awi berkata, pihaknya turut dibantu satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari Endau.

“Kita mengalami sedikit kesukaran ekoran terpaksa berulang-alik menggunakan sumber air bomba kerana tiada pili bomba di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kebakaran tersebut memusnahkan hampir 95 peratus rumah separuh kekal berkenaan selain sebuah kereta Perodua Kancil dan pacuan empat roda jenis Hilux musnah 90 peratus.

Pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk memadam kebakaran tersebut sebelum dapat dikawal sepenuhnya pada jam 9.44 malam.

Katanya yang juga Ketua Operasi, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan manakala operasi tamat pada jam 11.26 malam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *