Tidak perlu lupus HSKLU untuk pembangunan, kekalkan ekosistem – NGO

 Tidak perlu lupus HSKLU untuk pembangunan, kekalkan ekosistem – NGO

SHAH ALAM 03 September 2021. Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Shariffa Sabrina Syed Akil (tiga, kiri) menyerahkan Memorandum Warga Selangor dan Rakyat Malaysia Berkaitan Pembatalan Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kepada wakil Pejabat Menteri Besar Selangor, Shahril Said di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK). Bantahan terhadap tindakan Kerajaan Negeri Selangor kerana melaksanakan kelulusan penyahwartaan HSKLU seluas 536.7 hektar yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mewartakan dalam Warta Kerajaan Negeri. Turut hadir Setiausaha Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (GERAK) Negeri Selangor, Syed Putra Syed Isa (kiri). WMY/Supian Ahmad

SHAH ALAM, 3 Sept — Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan pembangunan infrastruktur akan memberi impak kepada ekosistem kawasan tersebut.

Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail berkata, HSKLU amat penting untuk mengekalkan ekosistem dan sebarang tindakan mengubahanya akan menyebabkan pelepasan Karbon Dioksida ke udara yang akan menyebabkan perubahan iklim khususnya di Selangor.

“Kami warga Selangor dan rakyat Malaysia melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Kerajaan Negeri Selangor kerana meluluskan penyahwartaan HSKLU.

“HSKLU penting untuk ekosistem dan sebarang tindakan mengubahnya akan menyebabkan pelepasan 3.2 juta tan Karbon Dioksida ke udara dan akan impaknya adalah berlakunya perubahan iklim di kawasan Selangor khususnya,” katanya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan Selangor di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaaan (SUK) Selangor pada Jumaat.

Sementara itu, Abdul Razak juga menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini agar dapat merujuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan beliau telah memberi maklumat palsu kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Menteri Besar memberi jaminan yang salah sebelum ini di mana beliau memaklumkan bahawa penyahwartaan berkenaan akan ditangguhkan.

“Kita cuba nyatakan yang ia adalah pembohongan kerana pada 12 Ogos 2021, telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Selangor bahawa tanah itu sudah dilucutkan hak status sebagai hutan simpan,” katanya.

Senada dengan Abdul Razak adalah Presiden Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffah Sabrina Syed Akil yang mendesak kerajaan Selangor membatalkan penyahwartaan HSKLU susulan infrastruktur di negeri ini sudah mencukupi.

Sabrina berkata, kerajaan negeri sewajarnya memelihara lebih banyak hutan simpan atau mewujudkan taman-taman yang terdiri daripada kepelbagaian spesies haiwan dan tumbuhan.

“Sebagai sebuah negeri maju, Selangor perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pemeliharaan kawasan hutan simpan yang menjadi sumber bagi penyerapan air hujan,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  +    =  55