Tidak berlaku lambakan sayur di Cameron Highlands pada PKP 3.0

 Tidak berlaku lambakan sayur di Cameron Highlands pada PKP 3.0

Antara kebun sayur di Cameron Highlands. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

CAMERON HIGHLANDS, 25 Jun — Tidak berlaku lambakan sayur dan aktiviti membuang produk berkenaan yang didakwa berlaku di Cameron Highlands yang didakwa berlaku berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini.

Ini ditegaskan Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong yang mendakwa berita yang tersebar itu tidak berasas dan lebih kepada cuba menarik perhatian kerajaan.

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong.

Menurutnya, kejadian lambakan sayuran hingga menyebabkan pekebun membuang produk keluaran mereka hanya berlaku pada PKP 1.0 tahun lalu yang menyebabkan kerugian besar pada pekebun, ia berlaku apabila semua aktiviti tidak boleh dilakukan sepenuhnya.

Katanya, pada PKP 3.0 kali ini pekebun sayur lebih awal mengetahui keputusan kerajaan itu, mereka sudah bersedia lebih awal bagi memastikan produk keluaran mereka boleh dipasarkan walaupun harganya lebih rendah berbanding sebelum ini.

“Perbuatan membuang sayur daun termasuk tomato dengan jumlah yang banyak kerana dikatakan berlaku lambakan disebabkan tidak boleh dipasarkan pada PKP 3.0 adalah tidak sama sekali.

Pekebun sayur di Cameron Highlands. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Tomato yang dibuang merupakan buah rosak secara semulajadi serta pelbagai sebab lain dan sememang biasa berlaku, faktor berkenaan menyebabkan pekebun bertindak membuangnya.

“Setiap hari antara 100 hingga 150 kilogram tomato rosak dibuang oleh pekebun di sini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan tanaman sayur, di sini semalam.

FAMA diwakili Pengarah Pemasaran Industri Makanan Ibupejabat FAMA, Ramli Mohd Sani dan Timbalan Pengarah Operasi FAMA Pahang, Shabuddin Mohd Nor.

Ee Mong berkata, pihaknya tidak faham kenapa isu lambakan sayuran sering dikaitkan dengan Cameron Highlands sedangkan kejadian itu tidak berlaku, ada pihak seolah cuba menarik perhatian kerajaan supaya campur tangan selain mungkin untuk menimbulkan kebimbangan pengguna.

Katanya, pada PKP 3.0 kali ini kebanyakan pekebun sudah bersedia dan mereka terlebih dahulu mengambil langkah awal supaya sayur tidak rosak, mereka tidak memetik sayur bagi mengelak tidak dapat dijual.

Bagi Louis Lau Weng Soow, pada peringkat awal PKP 3.0 sahaja sayuran tidak dapat dipasarkan namun selepas itu pengeluaran sayuran berjalan lancar sama seperti sebelum ini.

Pekebun sayur,Louis Lau Weng Soow.

Katanya, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti penghantaran sayuran keluar dari Cameron Highlands suatu tindakan yang bijak dan tepat bagi mengelak berlaku lambakan seterusnya kerugian ditanggung oleh pekebun.

“Pasaran sayuran kini berjalan lancar walaupun harganya tidak menentu, bagi pihak pekebun ia suatu yang normal dan tidak perlu diperbesarkan.

Aktiviti penghantaran sayur di Cameron Highlands terus berjalan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Sekiranya pasaran sayuran tidak dapat dilakukan pekebun bertindak menyumbang sayuran kepada pengguna dibeberapa negeri, kami tidak bertindak membuangnya seperti yang didakwa sebelum ini,” katanya yang mengeluarkan pelbagai jenis sayuran untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Tinjauan di Cameron Highlands mendapati aktiviti penghantaran sayuran tetap berlaku walaupun jumlahnya berkurangan, pekebun hanya bertindak memberhentikan kerja menanam sayuran.

Pengeluaran sayuran banyak berlaku di Lembah Bertam, Brinchang, Kuala Terla, Blue Valley dan Kampung Raja termasuk Lojing, Kelantan yang memasarkan sayuran mereka melalui Cameron Highlands.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  9  =  1