Tiba masa mengarus perdana pendidikan digital

 Tiba masa mengarus perdana pendidikan digital

Oleh Suraya Ali

SETELAH hampir tiga minggu sesi persekolahan menggunakan sistem Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), pelbagai pendapat dan keluh kesah timbul terutama kalangan ibu bapa.

Wacana.my mendapatkan pendapat ahli akademik, Dr Khairol Anuar Ishak, Pengurus Eksekutif Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia.

Dr Khairol Anuar Ishak, Eksekutif Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia

Menurut Dr Khairol Anuar, pandemik COVID-19 telah memberi satu cabaran yang besar kepada sistem pendidikan negara.

Pastinya, perubahan yang drastik di dalam norma baharu kehidupan menyebabkan masyarakat Malaysia tidak bersedia menerima perubahan dan anjakan paradigma termasuk keutamaan pendidikan digital.

Beliau berkata, perubahan dan pembaharuan di dalam PdPR membawa kesan emosi selain kebimbangan kalangan pelajar dan guru yang terpaksa menerima inovasi pembelajaran yang baharu.

“Pendidik juga dilihat menerima tekanan dan bebanan di dalam penyediaan bahan-bahan pengajaran. Mereka tiada pilihan kecuali perlu menyampaikan melalui kaedah maya (online),” katanya.

Begitu juga dengan pelajar yang turut terkesan kerana terpaksa menjadi lebih responsif dan self-directing learning (SDL).

“Tempias ini juga menyebabkan ibu bapa terpaksa membuat pembelanjaan tambahan bagi mendapatkan telefon pintar, tab, headphone serta pelan data internet bagi memastikan proses PdPR berjalan dengan lancar serta berkesan,” katanya.

Selain itu, masalah pencapaian internet bagi golongan yang berada di luar bandar juga menjadi cabaran bagi aktivti PdPR dan menyukat pencapaiannya.

“Tidak dapat dinafikan berlaku kewujudan jurang digital di antara pelajar di bandar dan luar bandar. Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu berubah dan terus bergerak kehadapan bagi meneruskan pendidikan digital,” katanya.

Menurut Dr Khairol Anuar, perubahan teknologi dan arus perubahan Sistem Pendidikan Negara perlu diberi penambaikan dengan meningkatkan pembelajaran teradun bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kebanyakan institusi pendidikan tinggi telah mula memperkenalkan gabungan pembelajaran dalam talian (blended learning) di antara 30 hingga 60 peratus. Oleh itu, keperluan di peringkat sekolah juga perlu mengubah proses pengajaran dan pembelajaran ke arah pembelajaran teradun,” katanya.

Beliau berpendapat, langkah proaktif perlu diambil oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta pihak swasta seperti Telekom Malaysia (TM) bagi memastikan akses capaian internet dan infrastruktur yang lengkap bagi memastikan semua pelajar mendapat peluang yang adil di dalam proses pembelajaran.

Selain itu, katanya, langkah drastik juga perlu diambil oleh kerajaan, agensi swasta dan individu untuk sama-sama membantu ke arah pendidikan digital,” katanya.

Tambahnya lagi, selaras dengan perubahan arus kemajuan negara dan Revolusi Industri 4.0 maka 2021 dilihat amat sesuai bagi penambahbaikan Sistem Pendidikan Negara bagi mengarusperdana pendidikan digital.

“Negara memerlukan pelajar dan pendidik yang lebih terbuka serta berinovasi bagi proses pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan lancar di dalam perubahan norma baharu ini,” katanya.

Pendapat Dr Khairul Anuar itu selaras dengan aspirasi Parent Action Group Malaysia (PAGE).

Presidennya, Datin Noor Azimah Abd Rahim memberitahu sistem pendidikan Malaysia pernah setanding dengan sistem pendidikan di Singapura.

Datin Noor Azimah Abdul Rahim

“Sekarang apabila sistem pendidikan kita dibandingkan dengan Singapura, kita jauh ketinggalan,” katanya.

Menurut Azimah, kedudukan Malaysia dalam ranking Programme International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) amat mengecewakan.

Ujian PISA yang diperkenalkan oleh Organisation For Economic Co-operation and Development (OECD) dan diadakan bagi menguji tahap penguasaan remaja berusia 15 tahun terhadap keupayaan membaca, sains dan matematik.

Pada 2012, sebanyak 65 negara terlibat dengan Ujian PISA 2012, dengan hampir 510,000 pelajar terlibat.

Sementara itu, Ujian TIMSS diadakan bagi mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek matematik dan sains sahaja. TIMSS dilaksanakan empat tahun sekali.

Antara negara yang sering mengungguli Ujian PISA ini adalah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun, Shanghai (China) serta Singapura. Disebabkan itu jugalah negara-negara ini sering dijadikan rujukan bagi sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia, terutamanya sistem pendidikan Finland.

Menurut Azimah, Vietnam yang tidak pernah dianggap pesaing Malaysia kini telah mengatasi kita. Apatah lagi apabila tiba masanya untuk mengukur ranking Pisa dan Timss, ia amat memalukan.

“Kita kini berada di peringkat ketiga bawah, sedangkan pada masa sama Malaysia berhasrat untuk berada di peringkat ketiga teratas pada 2025 yang masanya tidak lama lagi dan untuk mencapainya memang sukar,” tegas Azimah.

Beliau menambah walaupun ada guru yang patut dicontohi, kita masih terganggu oleh guru yang tidak berpuas hati, tidak berminat mengajar dan tidak hadir bertugas.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), 90 peratus guru hanya mempunyai 0 atau 2A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka.

Guru-guru ini kemudian berada dalam sistem selama 25 tahun walaupun pengambilan guru kini diperketatkan dengan syarat minima 5A di dalam SPM.

“Kta perlu menambahbaik sistem pendidikan negara untuk menjadikan pelajar dan siswazah kita lebih mudah dipasarkan dan menjadikan mereka kelompok yang menjadi pencipta pekerjaan dan bukannya pencari pekerjaan,” katanya.

Azimah berkata, sumber insan ini adalah untuk menjadi inovator dan bukannya pengguna serta menjadi hab yang menarik bagi perniagaan dan syarikat multinasional asing yang membawa teknologi, modal, pengetahuan dan pekerjaan ke Malaysia.

Gagasan perubahan harus menjadi inisiatif nasional oleh semua pihak yang berkepentingan dan bukan hanya Kementerian Pendidikan.

“Tetapi sejauh mana Kementerian Pendidikan memberi perhatian terhadap isu ini ?” tanya Azimah.

Menurutnya, ada guru yang perlu diberhentikan terutamanya yang tidak hadir bertugas.

“Juga guru yang tidak memberi kesan dalam mendidik pelajar, kerajaan boleh menawarkan mereka Skim Pemisahan Sukarela (VSS) atau hendak terus melihat anak-anak kita menderita,” katanya.

Azimah menegaskan, Malaysia memerlukan populasi guru yang lebih pelbagai dan untuk memikat minat pelajar bagi mengikuti aliran sains kita memerlukan makmal canggih.

“Pelajar harus fasih dwibahasa jika tidak tiga bahasa. Berhenti berdebat mengenai bahasa Inggeris… buat sahaja. Jadikan gred A bahasa Inggeris dalam s
SPM sebagai syarat kemasukan guru. Lakukan perkara yang sama untuk penjawat awam,” katanya.

Rata-rata kumpulan akademik dan ibu bapa sependapat tahun 2021 adalah masa terbaik memulakan perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Namun, di peringkat kerajaan walaupun perkara ini dilihat perlu, pelaksanaannya tidak semudah memetik jari atau menekan suis komputer.

Ikuti wawancara kami bersama mantan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi mengupas masalah pelajar di luar bandar dan pendapat beliau mengenai potensi merek serta penambahbaikan sistem pendidikan negara dalam laporan akan datang.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  35  =  43