Tiada tangkapan baharu, kertas siasatan kes Long Tiger hampir siap

 Tiada tangkapan baharu, kertas siasatan kes Long Tiger hampir siap

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan melibatkan kes Long Tiger yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dua minggu lalu hampir lengkap.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya bagaimanapun sedia membuat permohonan reman tambahan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan lagi siasatan terhadap lelaki Rohingya berusia 32 tahun itu.

“Sambung reman atau tidak, ini bergantung kepada siasatan kalau belum lengkap mungkin kita akan minta sambung reman dan keadaan ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak.

“Tetapi saya rasa insya-Allah, ‘more or less’ kita dah siapkan kertas siasatan, kes ini adalah ‘straight forward’ iaitu dia melarikan diri daripada tahanan. Kita akan lihat kalau tidak cukup, kita akan minta reman tambahan,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, polis berjaya menahan Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid yang menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah.

Seorang lelaki berperwatakan perempuan yang berusia 46 tahun turut dicekup dalam serbuan itu kerana disyaki bersubahat melindungi Long Tiger dan dua lagi lelaki ditangkap di Batu Pahat, tidak lama kemudian.

Pada jam 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan melibatkannya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan bermula.

Ketika itu, dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *