• Friday, 18 June 2021, 1:04 am

Tiada pelanggan: Peniaga setuju PKP penuh

 Tiada pelanggan: Peniaga setuju PKP penuh

KUALA LUMPUR 25 MEI 2021. Susana lengang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di pusat bandar Semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) di seluruh negara yang bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan, peratusan orang ramai yang keluar semakin menurun. Bermula 25 Mei, operasi perniagaan dihadkan 8 pagi hingga 8 malam sahaja. WMY/Supian Ahmad

Teks dan gambar oleh Supian Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Kalangan peniaga kecil bersetuju jika kerajaan mahu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya bagi meningkatkan keberkesanan membanteras penularan pandemik COVID-19 yang merekodkan 7,289 kes baharu, hari ini.

Tinjauan Wacana.my di sekitar premis Jalan Tunku Abdul Rahman mendapati, kebanyakan peniaga lebih rela menutup perniagaan mereka buat sementara waktu bagi mengelakkan kerugian yang lebih banyak.

Mereka berkata, pelaksanaan PKP 3.0 sekarang walaupun tidak melibatkan penutupan premis perniagaan namun ia tetap menjejaskan perniagaan dan terpaksa pulang dengan tangan kosong sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Seorang peniaga pakaian, Subhan Malik berkata, beliau membuka kedai pada jam 10 pagi namun sehingga jam 3 petang hari ini, premis jualannya sepi tanpa pengunjung.

Peniaga pakaian, Subhan Malik menunggu pelanggan di premis perniagaannya di Arked MK Mas. Bermula 25 Mei, operasi perniagaan dihadkan 8 pagi hingga 8 malam sahaja.

“Saya buka kedai seperti biasa pada jam 10 pagi. Tetapi sekarang dah hampir jam 3 petang, tak ada barang yang dijual.

“Gaji pekerja perlu dibayar ikut upah gaji hari, tetapi jualan sepi. Jadi saya selalunya akan tutup kira-kira jam 6 petang walaupun dibenarkan sehingga jam 8 malam,” katanya.

“Walaupun kerajaan membenarkan perniagaan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 8 malam, ia sebenarnya tidak banyak membantu kerana tiada pelanggan yang datang,” katanya.

Susana lengang di hadapan sebuah kedai pakaian di pusat bandaraya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang ditemui, Zamri Ibrahim yang menjual tudung turut berkongsi luahan sama.

“Saya buka kedai pukul 10 tadi, sampai 3 petang pun tiada pengunjung. Jadi lepas waktu Asar, saya kenalah tutup kedai,” luahnya.

Katanya, keadaan sekarang tidak membantu perniagaannya dan ia sekali gus mengakibatkan perniagaannya mengalami kerugian.

Beliau yang sudah berniaga sejak 1978 berkata, dengan teknologi yang ada sekarang, dia mula beralih kepada perniagaan online.

KUALA LUMPUR 25 MEI 2021. Peniaga pakaian, Zamri Ibrahim menunggu pelanggan di premis perniagaannya di Arked Jalan Yunus 6. Bermula 25 Mei, operasi perniagaan dihadkan 8 pagi hingga 8 malam sahaja. WMY/Supian Ahmad

Di Johor Bahru, pemilik kedai pakaian, Zuraidah Mohamed sudah beberapa hari tidak mencatatkan jualan apatah lagi SOP tempoh operasi dipendekkan dan pelanggan tidak boleh berada dalam kompleks lebih dua jam.

“Pusat Bandaraya Johor Bahru kini semakin lengang dan lebih banyak kedai dalam kompleks beli-belah di sini seperti menanti waktu untuk gulung tikar. Berikutan jualan yang merosot lebih 70 peratus, kami kini dibebani kos operasi seperti sewa, gaji pekerja, caj penyelenggaraan dan bayaran letak kereta,” katanya.

Sejak pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei lalu sehingga 7 Jun depan, peratusan orang ramai yang keluar semakin berkurangan.

Bermula hari ini (25 Mei), operasi perniagaan dihadkan bermula 8 pagi sehingga 8 malam sahaja dan pelanggan dihadkan dua jam di dalam premis.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *