Tiada padang, latihan bola sepak hanya di koridor rumah

 Tiada padang, latihan bola sepak hanya di koridor rumah

Muhammad Faiz Azizan (kiri) memantau latihan kecerdasan anak-anaknya, Muhammad Hadif dan Muhammad Hafiy di koridor rumahnya kerana PKP 3.0. WMY/SUPIAN AHMAD

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Melihat kepada pandemik COVID-19 yang masih berlarutan sejak awal tahun lalu, banyak perancangan dan aktiviti terbatas, malah ada juga yang terpaksa dibatalkan begitu sahaja.

Semuanya ‘dikorbankan’ demi menyelamatkan rakyat dan bumi Malaysia daripada terus merekodkan angka jangkitan dan kematian disebabkan virus durjana itu.

Impak itu secara tidak langsung dialami bapa kepada dua peserta Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Muhamad Faiz Azizan dalam memastikan anak-anaknya tidak ketinggalan untuk kekal aktif dan cergas dalam latihan.

Katanya, walaupun terpaksa berlatih di kawasan koridor rumah kerana tinggal di tingkat 13 di sebuah kuarters kerajaan dekat Jalan Semarak, latihan tetap diteruskan.

“Saya akan memantau latihan yang dilakukan oleh anak-anak setiap kali latihan. Oleh kerana padang awam di kawasan kami ini ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, mereka akan berlatih di koridor rumah.

“Mereka akan mendengar arahan jurulatih menggunakan telefon pintar dan rakaman latihan mereka akan dihantar kepada jurulatih selepas itu,” katanya ketika ditemui Wacana.my baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 17 JUN 2021 – Muhammad Faiz Azizan (kiri) berbual bersama anak-anaknya, Muhammad Hadif dan Muhammad Hafiy selepas selesai latihan kecerdasan di koridor rumahnya. WMY/SUPIAN AHMAD

Anak-anaknya, Muhammad Hadif, 11, dan Muuhammad Hafiy, 10 sudah empat tahun bersama NFDP dan masing-masing dalam kartegori U11 dan U10.

Latihan berkala setiap minggu itu dikawal selia menerusi kaedah hantaran video yang diambil oleh Faiz sendiri.

Bercerita lanjut tentang latihan di rumah, Faiz berkata, persekitaran latihan akan menjejaskan banyak perkara.

“Dekat rumah kebanyakan pemain tidak dipantau secara terus oleh jurulatih, jadi kadangkala mereka tak buat apa yang diarahkan.

“Keadaan simen dan padang juga lain, jadi hanya latihan ringan dan latihan peningkatan skill kendiri yang dapat dilakukan,” jelasnya.

Di rumah mereka terpaksa memakai kasut futsal kerana berlatih di atas permukaan bersimen, berbanding di padang menggunakan but bola, ini akan memberi kesan kepada latihan kawalan bola.

“Yang merisaukan saya ialah ‘bonding’ antara pemain akan hilang jika terlalu lama tiada ‘game’ yang diadakan.

“Dengan gaya permainan kini sudah berubah, setiap pemain akan ditugaskan untuk menjadi perancang strategi dalam perlawanan..jadi persediaan mental dan fizikal amatlah perlu,” ujarnya lagi.

KUALA LUMPUR 17 JUN 2021 – Peserta Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Muhammad Hadif dan Muhammad Hafiy  berlatih bersama di koridor rumah mereka. WMY/SUPIAN AHMAD

Hadif dan Hafiy kini meneruskan latihan bagi meningkatkan kecerdasan, kepantasan dan kawalan permainan dengan pemantauan bapa mereka setiap pagi selepas selesai sesi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah.

Mereka berharap dapat meneruskan latihan di padang selepas PKP 3.0 ini berakhir supaya akan kekal menjadi pemain terbaik dalam pasukan masing-masing.

Supian Ahmad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *