Tiada kesalahan berkaitan pajak tanah Tun Mahathir – Sanusi Md Nor

 Tiada kesalahan berkaitan pajak tanah Tun Mahathir – Sanusi Md Nor

Datuk Seri Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah

ALOR SETAR, 26 Nov — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjanjian pajakan tanah di Langkawi melibatkan Tun Dr Mahathir ditamatkan pada 2018.

Perjanjian itu melibatkan antara bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah ditamatkan atas permohonan Dr Mahathir sendiri yang dilakukan secara sukarela.

Menurut Sanusi, LADA telah dikemukakan notis penamatan pada April 2017 ketika Kedah ditadbir oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Berkaitan pajakan tanah seluas 13 hektar kepada Dr Mahathir pada 2014 yang tular, pajakan telah ditamatkan pada 7 Mac 2018.

“Tiada kesalahan apa pun yang dilakukan berkaitan pajakan itu mahupun ketika menamatkan pajakan, semua mengikut prosedur perundangan,” kata Sanusi.

Terdahulu, Wacana.my melaporkan Najib Razak mendakwa kerajaan Kedah semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri telah menawarkan tanah pesisir seluas 34 ekar di Langkawi dengan harga RM3,200 setahun.

Tindakan Ahli Parlimen Pekan itu dilihat sebagai tindak balas kepada serangan Tun Mahathir terhadap pendedahan mengenai permintaan untuk mendapatkan hartanah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

Najib membangkitkan isu tawaran pajakan tanah 34 ekar di Langkawi semasa anaknya Datuk Seri Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *