Tiada keperluan PRN Johor ketika ini – Ahmad Faizal

 Tiada keperluan PRN Johor ketika ini – Ahmad Faizal

Dato’ Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu

MUAR, 15 Jan 2022 – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat, tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini.

Menurutnya, rakyat tidak senang dengan langkah tersebut bertujuan membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu diadakan.

Ahmad Faizal beramah mesra dengan mangsa banjir semasa melawat tiga buah kampung di Bukit Kepong melibatkan Kampung Lenga, Kampung Jawa dan Kampung Sungai Berani di Pagoh, Muar, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, jika pembubaran itu tetap berlaku, BERSATU akan tetap mengambil bahagian seperti biasa.

“Namun jika ia tetap berlaku kerana semuanya di luar kawalan kami (parti), maka kita terpaksa ambil bahagian bersamalah dalam PRN itu nanti,” katanya selepas Program Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Kampung Sungai Berani, Pagoh, di sini hari ini.

Keadaan politik di Johor kini hangat selepas timbulnya khabar angin pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan bertiup kencang sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada minggu lalu.

Pelbagai ura-ura diperkatakan termasuk bakal timbul Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan PRN Johor dijangka berlaku pada Januari atau Februari, iaitu selepas selesai bencana banjir di negeri itu.

Namun ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang disebut-sebut bakal membuat gerakan itu menafikan dakwaan berkenaan.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, BERSATU (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Mengenai kerjasama BERSATU- Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya berkenaan, Ahmad Faizal berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, fokus yang harus diberi keutamaan oleh semua pemimpin politik ketika ini adalah membantu rakyat berdepan musibah, termasuk pasca banjir.

“Di peringkat Persekutuan kami semua bekerja dengan baik dan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri yang datangnya daripada BN.

“Mungkin ada segelintir pemimpin yang fikir perlu ada perpecahan supaya menguntungkan mereka. Namun, saya kira, pada waktu ini semua ahli politik perlu faham, kita kena kurangkan berpolitik.

“Rakyat sudah letih dan muak dengan pelbagai musibah. Tunggulah nanti keadaan sudah reda barulah kita berpolitik,” katanya. – ENDS

habis

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

69  +    =  79