• Sunday, 20 June 2021, 11:30 am

Tiada kematian di UK bukti program vaksinasi berkesan

 Tiada kematian di UK bukti program vaksinasi berkesan

JOHOR BAHRU, 7 Jun – Kejayaan program vaksinasi skala besar di United Kingdom (UK) sejak beberapa hari lalu yang tidak mencatatkan sebarang angka kematian membuktikan program itu berkesan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kejayaan program itu perlu memberi semangat untuk negara ini untuk turut melaksanakan program vaksinasi serupa secara besar-besaran.

“Saya dapati data yang kita peroleh dari UK menunjukkan program vaksinasi telah berjaya catat ‘zero death’. Ini beri kita semangat untuk kita laksanakan program vaksin skala besar.

“Disebabkan itu penting untuk kita tingkatkan imuniti dan perlindungan kepada seramai mungkin agar situasi Covid-19 di negara ini tidak sampai ke tahap lebih serius,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini semalam.

Yang turut hadir, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan UK tidak merekodkan sebarang kematian akibat Covid-19 sejak beberapa hari lalu dipercayai selepas pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran di negara berkenaan.

Kejayaan itu turut memberi keyakinan bahawa vaksin dapat meningkatkan imuniti seseorang individu dalam melawan wabak tersebut.

Sehubungan itu Adham berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu dijayakan dengan kerjasama rakyat negara ini.

Menurut beliau, adalah penting rakyat beramai-ramai mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin menerusi PICK dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beliau memberitahu, menerusi PICK fasa pertama, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan menerima suntikan manakala dalam fasa kedua pula dijangka seramai 9.3 juta individu akan disuntik.

Program tersebut akan diteruskan dalam fasa ketiga yang dianggar lebih 13 juta individu akan disuntik.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *