Tiada elemen sabotaj dalam kemalangan helikopter di Malaysia

 Tiada elemen sabotaj dalam kemalangan helikopter di Malaysia

Gambar Ihsan BOMBA

PUTRAJAYA, 29 Mac — Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan bahawa tiada unsur sabotaj wujud dalam kemalangan membabitkan helikopter di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata kemalangan yang berlaku adalah disebabkan faktor cuaca atau isu penyelenggaraan membabitkan helikopter.

“Setakat ini, tiada elemen mengatakan sabotaj…biasanya sebab cuaca atau penyelenggaraan kerana helikopter ini sama macam kereta dan ia memerlukan penyelenggaraan berterusan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan taklimat dengan lebih  20 pengendali helikopter, di sini hari ini.

Mengenai taklimat hari ini, Voo berkata CAAM memberi nasihat dan peringatan tentang kepentingan penyelenggaraan dan operasi helikopter berikutan tiga kemalangan melibatkan helikopter berlaku dalam tempoh kurang enam bulan.

Pada 24 Mac lepas, dua cedera manakala tiga lagi selamat selepas helikopter jenis Airbus AS350 B3 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Pada 8 Nov tahun lepas, dua helikopter jenis 9M-HCA dan 9M-HCB bertembung di udara di Taman Melawati, pinggiran Kuala Lumpur mengakibatkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56 dan ahli perniagaan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rai, 41, terkorban.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 dan penumpang Tan Chai Eian, 51, bagaimanapun dilaporkan selamat selepas melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan.

Pada 1 Jan lepas, dua lelaki cedera ringan setelah helikopter ringan yang dinaiki mereka terhempas di sebidang tanah kosong di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, Klang.

Mengenai punca kemalangan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang itu, Voo berkata Biro Siasatan Udara Kementerian Pengangkutan (BSKU) akan menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan helikopter jenis Airbus AS350 B3 itu.

“Siasatan dilakukan oleh BSKU dan selepas laporan siasatan keluar nanti, CAAM akan ambil dan kemudiannya sarankan kepada pihak industri mengenai penambahbaikan yang perlu dibuat. Punca sebenar kejadian masih belum diketahui,” katanya.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

85  −  83  =