‘The Sleeping Old Man’ kini sudah bangkit

 ‘The Sleeping Old Man’ kini sudah bangkit

Pemandangan sekitar perairan Semporna dari atas bukit di Pulau Bohey Dulang, Semporna.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEMPORNA: Jika novel The Old Man and the Sea karya sasterawan terkenal dunia, Ernest Hemingway mengisahkan perjuangan epik seorang nelayan tua yang mengalahkan seekor ikan mersuji raksasa yang dikatakan tangkapan terbesar dalam hidupnya, lain pula ceritanya  ‘The Sleeping Old Man’ di perairan ini.

Pulau mirip seorang lelaki tua terlentang di tengah laut seolah-olah sedang tidur lena merangkumi tiga pulau iaitu Pulau Gaya di utara, Pulau Bohay Dulang (tengah) dan Pulau Tatagan di selatan yang dipercayai wujud sejak lima juta tahun lalu. Bohay Dulang kononnya jantung pulau itu, manakala Pulau Gaya adalah kepala dan  bahagian kaki ialah Tatagan.

Ada tiga mitos popular mengenai asal-usul pulau dalam bahasa Bajau dialek Semporna, ‘Pu’ Mattoa Lalla Atoli’  itu. Yang paling popular ialah cinta sejati tiga insan iaitu ibu, bapa dan anak yang sukar dipisahkan sehingga mereka meminta kepada bomoh untuk dijadikan tiga pulau yang bercantum antara satu sama lain.

The Sleeping Old Man terbentuk dari tiga pulau di perairan Semporna.

Dari aspek penyelidikan saintifik, kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati pulau itu adalah sisa tinggalan letupan gunung berapi besar, kira-kira lima juta tahun lalu.

Bagaimanapun, Pulau Bohay Dulang dimajukan sebagai destinasi pelancongan oleh Taman-Taman Sabah, sebuah agensi kerajaan negeri di bawah Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar lebih sedekad lalu. Ini dengan sendirinya membuktikan `jantung’ pulau itu sudah kembali berdenyut selepas berjuta tahun `tidur’.

Cerita lisan yang diperoleh daripada penduduk setempat mendakwa pasangan suami isteri, Tetangan dan Gaya, sangat menyayangi anak tunggal mereka, Bohay Dulang, sehingga tidak sanggup berpisah walaupun menyedari hidup akan berakhir dengan kematian.

Ketika usia meniti tua, pasangan itu khuatir tiada siapa bakal menjaga Bohay Dulang yang dikatakan berusia 18 tahun dan belum berumahtangga. Walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk mahu mengahwinkan Bohay Dulang tetapi ditolak si anak dengan alasan tidak mahu membahagikan kasih sayang kepada orang ketiga.

Pulau itu boleh dilihat dengan jelas dari Jeti Pelancongan Semporna dan puncak Bukit Tengkorak, dekat pekan Semporna.

Bohay Dulang yang kononnya mempunyai paras tampan dan menawan menjadi kegilaan ramai gadis jelita. Tetapi anak muda itu mengabadikan cinta hanya kepada ibu bapanya dengan alasan, kasih sayang ibu bapa tidak seharusnya dikongsi dengan orang lain dan jika beliau berumahtangga, sudah pasti ia menyebabkan mereka berpisah untuk membina hidup baru.

Hari berganti, tiga beranak itu cuba mencari penyelesaian terbaik untuk bersatu selamanya dengan apa cara sekali pun. Bagaimanapun, mereka menolak pilihan untuk membunuh diri kerana ia adalah pantang larang nenek moyang.

Ketika itu, Islam belum sampai ke Semporna atau dikenali Tongtalun dan penduduk mengamalkan kepercayaan animisme.

Tatagan dan Gaya hanya dikurniakan cahaya mata selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, sekali gus mahu hidup lama untuk membesarkan anak kesayangan mereka dan melihat perkembangan hidupnya.

Mengikut cerita, pasangan itu nekad menemui bomoh supaya mereka dapat diubah menjadi pulau. Sebelum ketiga-tiganya bertukar menjadi pulau, Tatagan dan Gaya menyerahkan semua harta kepada Bohay Dulang sebagai bukti kasih sayang serta mengharapkan anak mereka masyhur pada masa depan.

Dipercayai kerana faktor itulah, Pulau Bohay Dulang memiliki keistimewaan tersendiri menerusi pemandangan cantik di laut, darat dan dasar laut dan kini menjadi tarikan pelancong, namun ia hanya mitos yang dihikayatkan penglipur lara lebih 100 tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap agensi pelancongan, E K Travel Semporna Island, Helmi Ejip, berkata  `The Sleeping Old Man’ menjadi tumpuan pelancong terutama Pulau Bohay Dulang yang kononnya ‘jantung’ pulau itu.

Katanya, pulau itu juga antara daya tarikan utama pelancong domestik dan antarabangsa kerana mengikut beberapa pelancong, keindahan semula jadi pusat peranginan itu mirip destinasi pelancongan termasyhur dunia iaitu Maldives.

“Pelancong berkunjung ke destinasi berkenaan tidak melepaskan peluang mendaki puncak bukit setinggi 700 meter di pulau itu untuk menikmati panorama indah sekitar perairan Semporna dan Kunak, selain kelihatan beberapa pulau dalam wilayah Filipina,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  5