The Pocket Rocketman terharu terima kurniaan TMJ

 The Pocket Rocketman terharu terima kurniaan TMJ

Tunku Ismail menyampaikan hadiah peribadi kepada Azizulhasni di Ibu pejabat JDT, Iskandar Puteri semalam.

JOHOR BAHRU, 8 Sept — Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terharu menerima kurniaan ganjaran peribadi oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ekoran kejayaannya meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Hantaran dalam Facebook rasmi milik Tunku Ismail memaklumkan, penganugerahan tersebut diberikan selepas menerima menghadap pelumba basikal trek profesional itu di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), semalam.

Sementara itu, Azizulhasni dalam Facebooknya berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.

“Menjunjung kasih Tunku Mahkota Johor atas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama-sama Datuk Qobin (Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin) untuk menghadap Tunku di ibu pejabat JDT.

“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi di siang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini.

“Patik juga menjunjung kasih atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara, terutamanya sukan berbasikal di negeri Johor,” tulis jaguh berbasikal negara itu.

Beliau berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan dimanfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di negeri Johor.

Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail.

“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezeki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

34  −  24  =