• Sunday, 20 June 2021, 2:35 pm

Thailand punyai cukup katil hospital rawat kes COVID-19

 Thailand punyai cukup katil hospital rawat kes COVID-19

Katil pesakit di sebuah hospital lapangan di Bangkok

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 23 Mei — Thailand mempunyai katil hospital yang mencukupi terutama di Bangkok dan wilayah berdekatan meskipun negara ini sedang bergelut dengan peningkatan kes COVID-19.

Timbalan jurucakap kerajaan Ratchada Dhanadirek berkata setakat ini 61 peratus daripada 20,652 katil di hospital,  hospital lapangan dan hospitels (gabungan hospital dan hotel) di Bangkok sudah digunakan.

Bagaimanapun,  katanya kira-kira 25,000 katil masih kosong di 12 zon di Bangkok.

Selain itu,  katanya hospital lapangan Busarakam di Impact Muang Thong Thani, Nonthaburi akan menambah sebanyak 1,000 lagi katil untuk pesakit COVID-19.

“Kementerian Kesihatan Awam turut bekerjasama rapat dengan hospital swasta untuk mendapatkan katil bagi pesakit yang mempunyai gejala lebih serius ,” katanya yang dipetik Bangkok Post.

Sementara itu Thailand merekodkan 3,052 kes baharu COVID-19 dan 24 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 126,118 dan 759 korban.

Daripada 3, 052 kes baharu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata sejumlah 3,011 membabitkan jangkitan tempatan dan 41 kes import termasuk 605 banduan dan 35 warga Thailand yang kembali dari Kemboja

Katanya,  Bangkok mendahului senarai dengan 1,191 kes diikuti wilayah Phetchaburi 437 dan 99 di Nonthaburi.

Beliau berkata korban terbaru itu melibatkan 12 lelaki dan 12 wanita berusia antara 31 hingga 96 tahun di Bangkok (13), Samut Prakan (tiga), Chiang Mai dan Ratchaburi (masing-masing dua), dan masing-masing satu di Nonthaburi, Surat Thani, Yasothon dan Wilayah Nakhon Nayok.

“Bilangan kes baharu di Bangkok dan wilayah berdekatan masih tinggi.  Tiada tanda berkurangan dengan 30 kluster direkodkan di 24 daerah Bangkok.

“Selain itu jumlah di wilayah lain juga mencatatkan trend menaik dengan kluster baharu dikesan di Phetchaburi, Chon Buri, Pathum Thani, Yala dan Maha Sarakham,” katanya pada sidang akhbar harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Taweesin berkata Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) menutup tempat tinggal pekerja binaan di daerah Lak Si di Bangkok selepas lebih  1,000 pekerja didapati positif.

Daripada jumlah itu, 36 kes melibatkan 21 rakyat tempatan dan 15 migran, dikesan dijangkiti varian India B.1.617.2.

“Jawantankuasa Penyakit Berjangkit Bangkok menutup tapak binaan itu selama 28 hari bagi membendung penularan wabak. Pekerja di rumah kongsi di situ akan dibekalkan makanan dan keperluan lain selain rawatan perubatan sewajarnya, ” katanya.

 

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *