Thailand harap dapat rancakkan semula industri pelancongan

 Thailand harap dapat rancakkan semula industri pelancongan

BANGKOK, 25 Mac — Thailand sekadar merekodkan 7,694 kedatangan pelancong asing pada Januari tahun ini, jumlah bulanan tertinggi sejak wabak COVID-19 melanda pada 2020.

Menurut data Kementerian Pelancongan dan Sukan angka itu sangat kecil berbanding 3.81 juta ketibaan pelancong pada bulan sama tahun lalu.

Thailand menutup sempadannya dan mengenakan larangan penerbangan penumpang antarabangsa untuk mengekang penularan COVID-19 pada April tahun lalu dan sejak itu hingga September, negara ini langsung tidak mencatatkan kehadiran pelawat asing.

Jumlah pelancong asing merosot 83 peratus kepada 6.7 juta pada 2020 berbanding hampir 40 juta pada 2019.

Untuk merancakkan semula industri pelancongan, Thailand membuka pintu sempadannya secara bertahap kepada pelancong asing sejak Oktober lalu di samping pelbagai inisiatif dilancarkan bagi membantu ekonomi yang bergantung kepada industri pelancongan.

Namun, tempoh kuarantin 14 hari, ujian saringan COVID-19 serta insurans kesihatan dengan jumlah sekurang-kurangnya US$100,000 merangkumi semua perbelanjaan rawatan perubatan dianggap terlalu mahal.

Selain menawarkan Visa Pelancong Khas (STV) yang membolehkan tempoh tinggal sehingga sembilan bulan, Thailand turut menyediakan pengalaman kuarantin yang unik.

Pelancong berpeluang memilih menjalani kuarantin di resort golf, vila, dan di kapal pesiar.

Hotel mewah di pulau peranginan Phuket turut ditawarkan sebagai pusat kuarantin. Projek perintis ini bermula dengan kumpulan pertama terdiri 58 pelancong yang menamatkan tempoh kuarantin di vila di Sri Panwa,Phuket awal Mac lalu.

Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) berkata inisiatif itu merintis usaha kepada projek ‘kuarantin kawasan’ yang dijadual bermula bulan depan.

‘Kuarantin kawasan’ meliputi lima wilayah yang menjadi kegemaran pelancong antarabangsa iaitu Phuket, Krabi, Surat Thani (merangkumi Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao), Chiang Mai dan Chon Buri (termasuk pulau peranginan Pattaya).

Di wilayah ini, pelancong akan dikuarantin di dalam bilik selama tiga hari jika keputusan ujian saringan COVID-19 negatif, mereka dibenarkan keluar.

Kementerian berharap kakitangan pelancongan di wilayah terbabit akan diberikan suntikan vaksin dengan segera sebagai persiapan menyambut ketibaan  pengunjung asing dari negara berisiko rendah bermula awal Julai.

Untuk menarik pelancong antarabangsa, Thailand akan mengurangkan tempoh kuarantin wajib dari dua minggu kepada 10 hari mulai 1 April.

Selain itu, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata kuarantin  pelancong yang sudah menerima suntikan juga dikurangkan kepada tujuh hari apabila negara ini bersedia kelak.

Mulai 1 Oktober, Thailand dijangka tidak lagi mengenakan kuarantin wajib kepada pelancong dari negara berisiko rendah. Bagaimanapun, pelancong dari negara yang mempunyai penularan varian baharu COVID-19 tetap perlu menjalani 14 hari kuarantin.

Di sebalik usaha Thailand menghidupkan kembali sektor pelancongannya, ada pihak masih ragu dengan jumlah kedatangan pelawat asing termasuk Bank of Thailand (BoT) yang menurunkan unjuran kedatangan pelancong kepada tiga juta tahun ini berbanding 5.5 juta yang diramalkan sebelum ini.

Seorang penganalisis di Maybank, menyatakan pengurangan jumlah unjuran itu disebabkan faktor program vaksinasi yang dilihat perlahan.

Sejak kempen vaksinasi dimulakan pada 28 Februari, hanya 54,000 atau 0.1 peratus dari 70 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 13 Mac.

Surasak, pemandu tuk-tuk di Bangkok berharap usaha yang dilaksanakan kerajaan dapat menyelamatkan industri pelancongan dan masyarakat tempatan.

“Saya harap kempen vaksinasi berjaya…Saya harap lebih banyak pelancong akan mengunjungi Thailand tidak lama lagi. Saya sangat gembira apabila mereka kembali kerana saya akan dapat lebih banyak duit,” katanya kepada Bernama.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −  44  =