Thailand bakal longgar sekatan untuk pulihkan ekonomi

 Thailand bakal longgar sekatan untuk pulihkan ekonomi

Pusat beli-belah, dine-in di restoran akan dibuka semula mulai Rabu depan.- Foto Reuters

BANGKOK, 28 Ogos — Thailand bakal melonggarkan sekatan COVID-19 di Bangkok dan 28 wilayah berisiko tinggi bermula 1 September dalam usaha untuk merancakkan kembali ekonomi.

Pusat beli-belah, dine-in di restoran, salun dan kedai gunting rambut (hanya untuk potongan rambut), ruang urut (hanya untuk urut kaki), tempat sukan dan taman awam akan dibuka semula mulai Rabu depan.

Perhimpunan awam juga akan dibenarkan tetapi terhad sehingga 25 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata perintah berkurung waktu malam selama tujuh jam bermula 9 malam hingga 4 pagi di kawasan-kawasan terlibat masih berkuat kuasa.

“Sekolah, gim dan pusat kecergasan serta tempat hiburan juga masih ditutup,” katanya selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha di sini pada Jumaat.

Untuk memastikan pembukaan semula perniagaan dan premis dapat dilaksanakan dengan selamat, Apisamai berkata pihak pengendali mesti memastikan pekerja mereka sudah lengkap divaksinasi dan menjalani ujian antigen secara berkala.

“Perniagaan berisiko tinggi seperti restoran, pelanggan perlu menunjukkan bukti sudah divaksinasi atau negatif ujian saringan COVID-19 dalam tempoh tujuh hari sebelum memasuki mana-mana premis.

“Kita perlu menyesuaikan diri dan belajar untuk hidup secara selamat bersama virus ini,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Penularan varian Delta menyebabkan Thailand terpaksa berjuang dengan wabak COVID-19 terburuk sejak April tahun ini.

Thailand mencatatkan 18,702 kes baharu COVID-19 dan 273 kematian, dalam tempoh 24 jam, sekali gus menyaksikan kes baharu di negara ini mencatatkan penurunan di bawah angka 20,000 sejak enam hari berturut-turut.

Setakat ini, secara keseluruhan Thailand mencatatkan 1,139,571 kes dan 10,587 kematian.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

86  +    =  96