TFC II kekalkan rekod tanpa kalah 10 perlawanan

 TFC II kekalkan rekod tanpa kalah 10 perlawanan

Pemain Terengganu FC II (TFC II) Jordan Mintah (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol keempat ketika menentang pasukan Kelantan United FC pada saingan Liga Premier Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. Kedudukan semasa menyaksikan TFC II mendahului Kelantan United dengan jaringan 4-1. –fotoBERNAMA (2021)

KUALA TERENGGANU, 3 Mei — Berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 10 perlawanan pusingan pertama Liga Premier musim ini, merupakan kenangan yang amat bermakna buat Terengganu FC II (TFCII).

Pengendali skuad The Turtles Badrul Afzan Razali, memuji prestasi memberangsangkan anak buahnya yang meraih kemenangan 4-1 ke atas Kelantan United FC (KUFC), pada perlawanan terakhir pusingan pertama liga musim 2021 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

“Mereka berjuang bermati-matian untuk kekalkan rekod tanpa kalah yang saya idamkan selama ini. Kredit juga harus diberikan kepada Jordan Mintah, yang melakukan jaringan hatrik malam ini (semalam).

“Pemain yang lain pun bermain dengan baik malam ini (semalam), mereka mengikut arahan. Alhamdulillah prestasi permainan mereka semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Premier 2021 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini semalam.

Aksi semalam menyaksikan jaringan hatrik Mintah telah membantu TFC II membelasah KUFC 4-1, sekali gus menghuni tangga ketiga liga.

Pemain import Ghana itu meledak dua jaringan penalti pada minit keempat dan ke-32 sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-69, sementara Argzim Redzovid turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-55, manakala gol sagu hati Kelantan United FC dijaringkan Alfusainey Gassama pada minit ke-40.

Ia merupakan kemenangan ketiga TFC II selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN pada aksi pertama Mac lepas dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada pertengahan April, manakala baki tujuh lagi perlawanan skuad Penyu sekadar meraih keputusan seri.

Sementara itu Ketua Jurulatih KUFC Akira Higashiyama, mengakui kehebatan aksi yang dipamerkan pasukan TFC II dan berjanji akan memperbaiki kesilapan anak buahnya pada perlawanan seterusnya, menentang Sarawak United FC, Jumaat ini.

“Terutamanya pada separuh masa pertama perlawanan, kami lakukan kesilapan sehingga TFC II jaringkan dua gol dari sepakan penalti, tetapi kami tidak boleh putus asa dan untuk perlawanan seterusnya menentang Sarawak, kami perlu mempunyai persediaan yang baik,” katanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  68  =  69