Tetapkan harga siling Sinovac elak rakyat terbeban – PAC

 Tetapkan harga siling Sinovac elak rakyat terbeban – PAC

KUALA LUMPUR, 27 Jul — Kerajaan dicadangkan agar menetapkan harga siling bagi vaksin COVID-19 Sinovac yang bakal dijual kepada klinik dan hospital swasta dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, inisiatif penetapan harga siling itu penting supaya harga vaksin yang dikenakan tidak membebankan rakyat.

Jelas beliau, ketetapan harga perlu diumumkan segera kepada rakyat memandangkan kerajaan akan membenarkan penjualan vaksin itu bermula Ogos depan.

“Jawatankuasa ini juga mengambil maklum harga untuk pemvaksinan COVID-19 sudah mula dipromosikan dan harga yang ditetapkan adalah tinggi berbanding dengan harga yang sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menjawab persoalan berhubung prosiding perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya pula, Kah Woh menegaskan PAC akan meneruskan prosiding berkenaan dengan memanggil Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Rabu.

Jelasnya, prosiding itu kemudiannya akan diteruskan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu depan.

“Pada Selasa, PAC akan turut mendengar penjelasan daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Prosiding yang bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada jam 1 petang akan turut dihadiri Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI),” katanya.

Mohd Abrar KA

abrar@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *