• Sunday, 20 June 2021, 7:46 am

Terus ‘diburu’ ah long walaupun sudah bayar hutang

 Terus ‘diburu’ ah long walaupun sudah bayar hutang

Chen Yuan (dua kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya kerana mendakwa diugut ‘ah long’ memintanya membayar hutang walaupun telah dijelaskan sebelum ini

Oleh Nurman Nasyriq

ISKANDAR PUTERI, 18 Mei – Walaupun sudah melunaskan hutang, seorang peniaga tetap ‘diburu’ tiga ceti haram atau ah long yang menuntutnya membayar RM12,000.

Itu nasib yang memimpa Ng Chen Yuan, 37, yang kini hidup dalam ketakutan dan bimbang keselamatan diri serta keluarganya.

Sebelum ini Chen Yuan meminjam sebanyak RM14,000 daripada tiga kumpulan ah long pada awal Mac lalu bertujuan mendapatkan modal untuk perniagaan gerai makannya.

Beliau kemudian dihubungi seorang individu yang mengaku boleh membantu melangsaikan hutang berkenaan dengan bayaran RM10,000.

“Disebabkan percaya, saya telah memberi individu berkenaan sebanyak RM5,000 namun dia kemudiannya menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

“Saya kemudian berurusan secara terus dengan ketiga-tiga ah long berkenaan dan membayar sepenuhnya hutang pada hujung April,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Namun, tidak lama selepas itu dia dihubungi seorang individu yang memintanya membayar wang sebanyak RM12,000 sedangkan dia telah membayar keseluruhan hutang berkenaan.

“Individu berkenaan menggunakan dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan dan gambar ahli keluarga untuk dipaparkan dalam pelbagai akaun Facebook mendakwa saya berhutang dengan pihaknya.

“Dia turut memaparkan gambar ibu bapa dan keluarga adik saya bertujuan untuk memalukan saya dan mengugut supaya saya membuat pembayaran seperti dimintanya,” katanya.

Dia telah menghubungi ketiga-tiga kumpulan ah long berkenaan dan bertanyakan perkara itu, namun diberitahu perkara tersebut dilakukan ‘scammer’ dan bukan daripada pihak mereka.

Sehubungan itu, dia membuat dua laporan di Balai Polis Gelang Patah pada 22 dan 25 April lalu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *