Terperangkap & Terkongkong Dasar Penjajah

 Terperangkap & Terkongkong Dasar Penjajah

Oleh Prof Emeritus Dato’
Dr Ibrahim Komoo

MAKSUD alam sekitar bukan setakat alam yang wujud di sekitar kita. Lingkungan tafsirannya jauh lebih dalam dan serius menjangkaui soal air, tanah dan udara. Namun pemikiran masyarakat mengenai alam sekitar masih terperangkap dan terkongkong dengan dasar diperkenalkan penjajah iaitu ‘alam sekitar merupakan sumber asli yang perlu digunakan untuk kepentingan ekonomi dan keperluan manusia’. Mineral bijih untuk diterokai dan dijual sebagai bahan komoditi; batuan, pasir dan tanah liat sebagai bahan pembinaan; manakala hutan diterokai untuk kawasan pertanian dan kayu balak. Kita menganggap sumber ini tiada batasan dan boleh digunakan sewenang-wenangnya. Akibatnya, kualiti alam sekitar semakin merosot, pencemaran udara dan air meningkat, sekali gus kesihatan awam semakin terganggu. 

Dasar kerajaan terhadap alam sekitar berbeza dengan dasar pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Jika ekonomi dan masyarakat dianggap perlu dibangun, alam sekitar pula perlu dipulihara. Dalam keadaan begini, usaha membangunkan sosio-ekonomi dianggap menguntungkan tetapi pemulihara alam sekitar disifatkan usaha yang merugikan. Akibatnya, hampir semua dasar kerajaan memberi tumpuan kepada strategi dan perancangan pembangunan ekonomi, sementara dasar untuk alam sekitar terbatas kepada usaha mengurangkan pencemaran.

Malaysia mempunyai pelbagai akta dan garis panduan berkaitan dengan alam sekitar. Selain Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127: 1974) yang memberikan tumpuan khusus kepada pengurusan alam sekitar, khususnya daripada perspektif mencegah, menghapus dan mengawal pencemaran, kebanyakan akta lain bersifat sektoral, iaitu tertumpu kepada perancangan, pengurusan dan penggunaan sumber asli sebagai bahan komoditi atau sumber asas pembangunan. Akibatnya, apa sahaja usaha murni untuk mengurus kelestarian alam sekitar berhadapan dengan kegagalan.

Maksud Alam Sekitar

Tafsiran semasa mengenai alam sekitar adalah daripada perspektif pentadbiran, perancangan, peraturan dan tindakan pelaksanaan pelbagai. Dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling umpamanya, alam sekitar bermaksud faktor fizikal bagi kawasan di sekitar manusia, termasuk tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor biologi bagi binatang dan tumbuhan serta faktor sosial estatik. Tafsiran begini diperlukan bagi membolehkan pengurusan kawalan pencemaran dilaksanakan. 

Akta Perhutanan Negara (Akta 313: 1984) pula terfokus kepada agenda pentadbiran, pengurusan dan pemuliharaan hutan (komponen terbesar alam sekitar negara). Konsep alam

sekitar ialah Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang bermaksud tanah yang dijadikan atau disifatkan telah dijadikan suatu HSK seperti diperuntukan dalam akta. Jelasnya, alam sekitar bermaksud Hutan Simpanan Kekal. Akta Penyiasatan Kajibumi (Geologi) (Akta 129: 1974) berkaitan dengan penyiasatan dan pembangunan sumber bumi (komponen fizikal atau abiotil alam sekitar) juga mempunyai tafsiran tersendiri. Alam sekitar ialah bahan batu-batan, fosil dan bijih yang terdapat di permukaan dan dalam bumi. Semua sumber yang bernilai ekonomi sesuai diterokai untuk kepentingan ekonomi. 

Ringkasnya, kebanyakan akta yang terlibat dengan komponen alam sekitar membuat tafsiran berasaskan konteks masing-masing bagi tujuan pengurusan dan pembangunan wilayah dan sumber asli negara tanpa memahami maksud dan fungsi alam sekitar sebenar.

Pembangunan Lestari

Sejak awal 1970-an, ramai pemimpin dunia menyedari pelaksanaan pembangunan untuk kepentingan ekonomi semata-mata telah memudaratkan alam sekitar. Akibatnya, kesihatan alam sekitar semakin merosot ke tahap mampu memusnahkan kehidupan di muka bumi ini termasuk manusia. Oleh itu, usaha mengimbangi aktiviti pembangunan ekonomi dan mengawal kesihatan alam sekitar perlu diberikan perhatian utama.  

Tiga komponen utama yang mendasari pembangunan lestari ialah keseimbangan antara pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan pemuliharaan alam sekitar. Alam sekitar mempunyai maksud yang luas iaitu ‘sekitaran fizikal atau keadaannya di mana manusia dan hidupan lain hidup, membangun dan melakukan pelbagai aktiviti’ (OED, 2013). Dalam konteks lazim, maksud alam sekitar lebih difahami bersifat ‘sekitaran tabii’ dan bukannya binaan manusia. Terakhir, maksud alam sekitar daripada perspektif Agenda 2030 atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) pula, dinyatakan dengan jelas dalam beberapa matlamatnya seperti Air Bersih dan Sanitasi (G6); Kelestarian Bandar dan Komuniti (G11); Tindakan Iklim (G13); Hidupan Bawah Air (G14); dan Hidupan di Daratan (G15).

Tafsiran Bersepadu Alam Sekitar

Untuk membangun dan mengurus alam sekitar, kita memerlukan satu tafsiran bersepadu yang boleh digunakan dalam sektor pembangunan. Dalam konteks ini, alam sekitar perlu diperkenalkan berasaskan fungsi dan kepentingan alam sekitar kepada kesejahteraan masyarakat dan hak hidupan lain di permukaan bumi, sebagai contoh:

1. Perkhidmatan Alam Sekitar – udara bersih, air bersih dan tanah subur. Dalam konteks ini integriti kawasan hutan, lembangan sungai dan tanah pertanian untuk keselamatan makanan dikenal pasti dan dipulihara daripada perspektif perkhidmatan alam sekitar.

2. Warisan Tabii – kawasan yang mewakili landskap berpandangan indah, tapak penting sejarah tabii, ekosistem khas dan habitat fauna/flora unik yang telah dikenal pasti bernilai bertaraf warisan negeri, negara dan antarabangsa. Dalam konteks ini pewartaan berasaskan nilai seperti Taman Negara, Taman Negeri, Kawasan Perlindungan Hidupan Liar, Landskap Berpandangan Indah, Monumen Tabii, Geotapak dan Biotapak diperkukuhkan.

3. Perlindungan Keselamatan Makanan – kawasan yang mempunyai kesesuaian yang tinggi, khususnya berkaitan jelapang padi, kawasan sayur-sayuran, kawasan buah-buahan, padang ragut dan sumber makanan khas. Kawasan ini perlu diwartakan sebagai kawasan perlindungan keselamatan makanan. Kawasan pertanian komoditi seperti kelapa sawit dan getah tidak termasuk dalam kategori ini.

4. Kawasan Sumber Bumi (termasuk sumber tenaga fosil) – kawasan pengkuarian dan perlombongan bagi membekalkan sumber asas untuk bahan binaan dan bahan industri. Sumber Bumi ialah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan sebahagiannya hadir dalam kuantiti terhad.

5. Kawasan Sumber Akuatik (sungai dan marin) – khususnya kawasan yang membekalkan protein. Ia meliputi kawasan tasik, sungai dan pesisir pantai.

6. Kawasan Perbandaran dan Pertempatan – perancangan meliputi kawasan kawalan banjir, taman rekreasi dan hutan bandar.

Apa sahaja akta dan garis panduan berkaitan dengan satu daripada tafsiran di atas, terikat dengan dasar payung ini dan perlu memberikan perhatian untuk mengharmonikan keperluan pembangunan dan memulihara alam sekitar.

Kepentingan Dasar Payung

Pemikiran membuat dan pelaksana dasar perlu berubah. Alam sekitar perlu dibangunkan, bukan sekadar untuk dipulihara. Pembangunan alam sekitar adalah menguntungkan dan bagi memastikan kehidupan dan keupayaan bersaing berterusan. Pemikiran alam sekitar untuk dipulihara dan tidak mendatangkan hasil adalah kefahaman lama yang perlu dikikis.

Negara memerlukan hutan untuk memastikan alam sekitar berupaya memberikan perkhidmatan ekosistem – udara dan air bersih, kawasan tadahan air, sumber kepelbagaian biologi, landskap berpandangan indah dan warisan tabii. Tanah lapang yang subur untuk keselamatan makanan. Kawasan rekreasi dan identiti wilayah. Sistem kawalan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan hakisan pantai. Sumber asli untuk pembangunan ekonomi, bahan binaan dan sumber tenaga. Oleh kerana fungsi alam sekitar merentas sektor, dasar payung dan tafsiran makna sepatutnya diperlukan untuk pembangunan lestari. 

Penulis ialah Felo Utama, Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI), UKM; & Ketua Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  70  =  79