Teroka Aokigahara, hutan paling digeruni di dunia

 Teroka Aokigahara, hutan paling digeruni di dunia

Oleh Mohd Kamal Ahmad     

KUALA LUMPUR: Menemui cebisan kain baju dipercayai milik pembunuh diri dan dilintas kelibat lembaga hitam adalah antara pengalaman dilalui Solo Ambush, seorang pemuda yang menjadi perungkai misteri dan mistik popular di FB Live, ketika meneroka hutan bunuh diri Aokigahara di Jepun.

Solo Ambush atau nama sebenar Hanizamal Abu Hanifah, berkata beliau tiga kali memasuki hutan paling digeruni di dunia itu mulai jam 11 malam hingga 2 pagi manakala tiga kali lagi eksplorasi pada sebelah siang untuk tujuan memantau serta meninjau.

Solo Ambush atau nama sebenar Hanizamal Abu Hanifah, menerokai Aokigahara, hutan paling digeruni di dunia

“Pada pandangan umum, hutan ini sangat seram. Di sana, saya menemui tulang-tulang binatang dan cebisan kain baju mungkin bekas orang bunuh diri selain berdepan dengan lembaga tetapi tidak dapat dirakam kamera. Saya ada berkomunikasi dengan lembaga itu tetapi dia tak beri respon. Saya panggil-panggil saja. Masa itu belum ada lagi ghost box.

“Selain itu, ada juga nampak kelibat-kelibat yang penonton nampak semasa FB Live,” katanya sambil memberitahu eksplorasi meneroka Hutan Bunuh diri itu dilakukan pada 1 September 2019.

Hanizamal memasuki hutan misteri itu pada jarak 300 meter hingga 2 kilometer. Namun dengan menguasai ilmu hutan, beliau tidak ada masalah untuk keluar dari zon seram itu walaupun dalam keadaan hutan tebal dan gelap.

Aokigahara adalah lokasi popular untuk membunuh bunuh diri di kalangan orang Jepun. Dilaporkan, lebih 100 orang masuk ke hutan itu dan tidak lagi keluar setiap tahun. Hutan seluas 13.4 batu persegi itu menjadi tumpuan individu untuk menggantung diri, minum racun atau mengambil dadah melebihi dos.

Mengulas lanjut eksplorasi itu, beliau berkata: “Sesat adalah perkara biasa. Sebenarnya, yang paling penting ialah macam mana kita nak keluar jika kita sesat,” katanya. Setiap eksplorasinya sentiasa lengkap dengan perkakasan lampu suluh dan lampu suluh tambahan selain air dan sedikit makanan, gimbal dan kabel, kamera telefon serta power bank.  Tiada pisau dibawa ke lokasi.

Sementara itu, dalam siri eksplorasi merungkai misteri dan mistik di lokasi lain, Hanizamal pernah nampak pocong, pelbagai bentuk lembaga dan dipintas kelibat-kelibat hitam serta disakat makhluk ghaib yang menggerakkan anak patung di atas meja.

Antaranya, ketika beliau memasuki bangunan Kelly Castle, bulu romanya meremang dan lilin yang dipasang, terpelanting.

Video-video tertentu dari FB Live beliau turut memaparkan pelbagai suasana selain beliau sentiasa bergerak dan menyuluh sekitar bagi mengesan serta merungai misteri dan entiti seperti diceritakan masyarakat setempat. Bagaimanapun tidak semua eksplorasi dapat merungkai misteri dan mencari jawapan seperti yang diperkatakan orang mengenai lokasi tersebut.

“Banyak juga misteri yang terungkap tetapi saya tidak boleh menceritakannya demi untuk menjaga aib di lokasi tersebut,” katanya.

Eksplorasi pertama Hanizamal dilakukan di sebuah banglo kosong tinggalan British di Bukit Merah, Perak pada Julai 2018. Sejak itu, beliau telah meneroka lebih 100 bangunan atau lokasi yang rata-rata diperkatakan orang sebagai  misteri. Rata-rata lokasi yang didakwa ‘keras’ itu dikesan menerusi Google. Sebahagian lagi maklumat dikongsi peminatnya yang berjumlah lebih 405,000 orang dari kalangan rakyat Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Hanizamal meninggalkan kerjaya pengurus kejuruteraan pada 2018 selepas memikirkan baik dan buruk minat baharu beliau dengan semasak-masaknya. Tiada sesal atau kecewa dirasai walaupun daripada seorang pengurus kini menjadi ‘seekers’ atau aktiviti yang beliau istilahkan sebagai perungkai misteri dan mistik.

Ditanya persediaan diri dari segi ketahanan fizikal dan mental mahupun spiritual dalam menempuh eksplorasi solo yang mencabar, beliau berkata penjagaan diri adalah kunci utama dengan cara jogging dan hiking.

Beliau berkata, penjejakan ke lokasi dilakukan secara berseorangan manakala admin Facebook dan Telegram hanya memantau FB Live di rumah mereka sahaja.

Katanya, eksplorasi dilakukan antara jam 11 malam hingga 2 pagi dan melibatkan dua atau lima kali seminggu. Lembaga yang kerap ditemui ialah kelibat lembaga hitam dan ada ketika beliau berkomunikasi menerusi ghost box atau body language.

Ditanya soalan lain, beliau berkata tidak mengalami pengalaman bertarung dengan lembaga tersebut. Bagaimanapun pernah terjadi, ada lembaga dari lokasi yang mengikuti pulang ke rumah.

“Dalam soal menjaga diri dan keluarga dari gangguan makhluk ghaib, kita mesti meletakkan sepenuh kepercayaan kepadaNya,” katanya sambil memberitahu malam Jumaat selalui mempunyai suasana aura yang agak berlainan daripada malam lain.

 

Related post

1 Comment

  • Terima kasih atas pengalaman2 yg tlh d kongsi bersama kami semua. Banyak ilmu yg d perolehi oleh kami tntangnya. MALAYSIA BOLEH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

30  −    =  21