Ternak wild betta, jana hasil lumayan

 Ternak wild betta, jana hasil lumayan

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR: Di mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi. Itulah Mohd Afendy Idris yang mewarisi hobi ayahnya sejak 12 tahun lalu. Ayahnya dulu di Sitiawan menternak ikan hiasan seperti ikan discus (Symphysodon), angel (Pterophyllum), pelaga (Betta splendens) dan lain-lain.

Ikan Pelaga

Nama glamour FB beliau Fendy Imbellis Betta. Beliau lebih meminati ikan pelaga liar atau wild betta berbanding pelaga kacuk. Spesies wild betta ada kaki dan peminatnya tersendiri. Bagaimanapun, beliau tidak menternak wild betta. Ini kerana ia memerlukan kawasan yang luas dan fokus dalam penjagaannya. Jadi, apa yang dilakukan ialah mendapatkan ikan daripada rakan sehobi yang menternak wild betta selain dari penternak luar negara. Ikan itu kemudian dilelong menerusi FB Live.

Menjadi pelelong atau disebut sebagai joki di kalangan netizen, kini kerjaya sepenuh masa Fendy sejak Oktober 2020 bagi mengisi masa lapang kerana PKP ketika itu. Sepanjang menjadi joki, lebih 5,000 ekor wild betta telah dijual menerusi live bid di FB. Lelongan tidak menjadi masalah. Wild betta memang mendapat sambutan di pasaran. Purata seekor ikan ini RM20 dan boleh melonjak sehingga RM800. Tetapi jangan terkejut harga paling mahal pernah beliau lelong ialah RM2,400 seekor. Ini harga bagi ikan yang sudah memenangi pertandingan peringkat Grand Champion Wild Betta.

Fendy (kanan) bersama rakan peminat wild betta

Fendy berkata, tidak dinafikan ikan imbellis hybrid dari Thailand menjadi pilihan peminat betta berbanding imbellis original. Ini kerana hasil R&D perikanan Negara Gajah Putih itu yang jauh lebih maju berbanding kita.

“Tetapi ikan kita juga cantik dan menarik. Contohnya, ikan imbellis ori yang dahulu mudah diperolehi di bendang, paya dan parit-parit pun masih ada lagi mendiami habitat itu. Cuma ia kurang mendapat pemintaan kerana usaha mempromosi ikan itu tidak luas,” katanya.

Ditanya kenapa berhenti kerja? Jawab Fendy, beliau mahu memberi fokus kepada tugasnya sebagai joki. “Saya bukan breeder. Saya hanya buat live bid di FB. Lagipun, saya lebih berpuas hati dengan pendapatan dan seronok dengan apa yang dilakukan sejak Oktober 2020 kerana mengisi masa lapang ketika PKP.”

Sementara itu di Johor Bahru, Mohd Zuraime Abd Rahim, 39, atau Zack menyertai hobi ini pada akhir 2019. Seterusnya, beliau mula menternak awal 2020 dengan menumpukan kepada jenis Halfmoon dan Halfmoon Palakat. Setakat ini lebih 2,000 betta telah dijual pada harga RM10 untuk borong manakala ikan terpilih antara RM30 hingga lebih RM200 seekor.

Mohd Zuraime Abd Rahim

“Hobi ini boleh memberi hasil lumayan. Yang penting rajin, berusaha dan bertawakal,” katanya yang berguru dengan Youtube sahaja dan selesa menjadi penternak separuh masa sahaja.

Katanya, soal pasaran tidak menjadi masalah kerana ramai peminat betta di seluruh negara. 

Ditanya anggaran penternak betta di Johor, beliau menjawab: “Ramai sangat… tak terkira.”

Justeru, memang tiada masalah dalam soal bekalan kerana ada ramai penternak betta di merata-rata tempat. Namun yang menarik, harga betta tetap stabil dan terus meningkat berdasarkan kualiti dan ciri-ciri betta yang mampu hidup sehingga 4 tahun itu. Jadi, ini satu bisnes yang sesiapa sahaja boleh ceburi dan menjana pendapatan lumayan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

56  +    =  64