• Monday, 21 June 2021, 2:27 am

Ternak rusa, landak raya belakang rumah

 Ternak rusa, landak raya belakang rumah

Saharuddin bersama landak ternakannya.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 23 Mei – Permintaan menggalakan terhadap daging rusa selain harga yang memuaskan mendorong Saharuddin Mansor, 57, menternak haiwan itu sejak lapan tahun lalu.

Bermula dengan sepasang namun kini bertambah menjadi 11 ekor, namun faktor kawasan yang terhad menyebabkan jumlah rusa tidak boleh terlalu banyak dalam satu masa.

Setiap kali musim perayaan, Saharuddin akan menyembelih antara dua hingga empat ekor rusa dewasa bagi memenuhi permintaan penggemar haiwan eksotik itu.

Katanya, walaupun dijual dengan harga mencecah RM65 sekilogram (kg) namun ia bukan penghalang kepada masyarakat setempat membelinya bagi merasa keenakan daging haiwan berkenaan.

Harga tinggi bukan penghalang untuk peminat daging rusa yang sukar diperolehi

“Permintaan terhadap daging rusa begitu menggalakan malah tidak mencukupi terutama setiap kali hari raya puasa dan hari raya korban. Seminggu sebelum raya, saya sudah menerima tempahan terutama di kalangan pelanggan tetap.

“Kebanyakan pengemar haiwan eksotik itu membeli antara sekilogam hingga tiga kilogram. Rata-rata pembeli berpendapat harga yang tinggi bukan penghalang untuk mereka merasa daging rusa yang sukar diperolehi,” katanya.

Saharuddin dari Kampung Kelat Rendang, di sini berkata, menternak rusa tidak terlalu sukar. Cuma penyediaan minuman dan makanan seperti rumput perlu diberi keutamaan.

Beliau turut memberi rusa peliharaanya makan roti sebagai makanan tambahan selain rumput diberi dua kali sehari manakala roti tiga hingga empat kali seminggu.

Katanya, kandang rusa ditempatkan di belakang rumahnya bagi memudahkan pemantauan setiap hari. Haiwan berkenaan juga jinak dan setiap tahun membiak.

“Selain rusa, saya juga menternak sembilan ekor landak raya sebagai hobi. Haiwan berkenaan ditempatkan dalam kurungan khas terletak di belakang rumah.

“Walaupun ada permintaan terhadap daging landak raya namun saya belum bercadang untuk menjualnya,” katanya yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *