Terlajak ke balai: Enam remaja ditahan

 Terlajak ke balai: Enam remaja ditahan

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 27 Feb:  Tindakan enam remaja lelaki menunggang basikal lajak mengundang padah apabila ditahan polis di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau di sini,  petang semalam.

Semua mereka berusia antara 12 tahun hingga 16 tahun ditahan kira-kira jam 3 petang oleh polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kumpulan remaja itu ditahan kerana menunggang basikal lajak yang telah diubah suai dan tidak mempunyai brek serta loceng.

Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD JBS telah mengeluarkan 10 saman Pol 257 di bawah peraturan 42(1)(a) LN 166/59 dan kesemua basikal lajak dirampas di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua ibu bapa remaja itu telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD JBS untuk tujuan dokumentasi.

“Kami turut menasihati ibu bapa supaya mengambil tahu kegiatan anak-anak mereka ketika berada di luar rumah. Semua remaja yang ditahan, kemudian dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan kegiatan basikal lajak secara berterusan akan dijalankan bagi mengekang dan membanteras aktiviti basikal lajak ini yang bukan sahaja membahayakan penunggang malah pengguna jalan raya lain.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

44  −    =  36