Terkandas dalam hutan sebulan

 Terkandas dalam hutan sebulan

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang (dua dari kiri) bertemu pegawai JPNP pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

CAMERON HIGHLANDS, 21 November 2021 – Terkandas dalam hutan selama sebulan berikutan banjir besar antara pengalaman mendebarkan pernah dilalui Penolong Pemelihara Hutan, Hanad Abdullah yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) lebih 39 tahun 10 bulan.


Dia yang bersara wajib awal tahun ini berkata, kejadian berlaku di kawasan hutan Lesong, Rompin pada 1994, ketika itu musim tengkujuh menyebabkan hujan berlaku beberapa hari tanpa henti.


Menurutnya, selaku ketua pasukan dia bersama beberapa rakan terpaksa mengambil keputusan untuk bertindak meninggalkan hutan selepas sebulan terkandas berikutan terputus hubungan disebabkan banjir.


“Saya dan rakan-rakan terpaksa berjalan kaki berpuluh kilometer termasuk bertarung nyawa menyeberangi sungai menggunakan rakit, kami juga mengharungi kawasan banjir dalam keadaan yang menakutkan.


“Pelbagai cabaran dihadapi sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira lapan jam,” katanya yang bertugas di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, sebelum bersara.


Beliau berkata demikian ditemui pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPNP, meraihkan pesara dan bakal pesara serta kakitangan yang berkhidmat lebih 30 tahun di Hotel Zentih, di sini semalam.


Program berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang.
Turut hadir Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.


Hanat berkata, di kejar kumpulan gajah ketika bertugas di kawasan hutan Maran pada 2015 turut menjadi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang berkhidmat dengan JPNP.


“Walaupun telah bersara kini namun hati dan ingatan saya tetap terus melekat dengan JPNP, kenangan pahit dan manis terlalu banyak terpahat sepanjang berkhidmat,” katanya yang turut menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.


Sementara itu, Mohd Ridza berkata, kakitangan yang bersara jangan lupa menjaga kesihatan selain turut melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.


“Pengalaman dan kemahiran mereka yang bersara masih boleh digunakan, mereka boleh menjadi tenaga pengajar kursus yang dianjurkan.


“Saya mendoakan mereka yang bersara terus sihat dan ceria, mereka perlu menerima hakikat semua kakitangan awam akan melalui proses persaraan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

32  +    =  42