Terima kasih Tuanku beri perhatian isu lombong di Tasik Chini

 Terima kasih Tuanku beri perhatian isu lombong di Tasik Chini

Tasik Chini, Pahang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

PEKAN, 17 Jun – Masyarakat Kampung Orang Asli Gumum, di sini terharu dengan perhatian serius diberikan
KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan kegiatan perlombongan di kawasan Tasik Chini, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nashita Dewi K Paramanantham.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Gumum, Nashita Dewi K Paramanantham berkata, campur tangan KDYMM Tuanku dapat menyelamatkan flora dan fauna serta ekosistem terdapat di persekitaran Tasik Chini yang terkenal dikalangan pelancong tempatan dan antarabangsa suatu ketika dahulu.

Menurutnya, penduduk Kampung Orang Asli Gumum begitu berharap aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini tidak lagi berlaku, cukuplah apa yang telah berlaku sebelum ini hingga menyebabkan kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem.

“Penduduk Kampung Orang Asli Gumum seramai 730 orang yakin dengan campur tangan
Tuanku aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini tidak terus berlaku hingga mengundang kemusnahan alam semulajadi di situ.

“Yang lepas biarlah lepas, apa yang penting ia tidak terus berulang buat kali kedua,” katanya menerusi kenyataan media disediakan hari ini.

Beliau berkata, keprihatinan Tuanku yang datang ke Tasik Chini dan Kampung Gumum baru-baru ini untuk melihat sendiri kesan aktiviti melombong yang berlaku sebelum ini sambil bertemu penduduk amat hargai.

Nashita Dewi berkata, dia mewakili penduduk Kampung Orang Asli Gumum Tasik Chini, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas titah Tuanku berkaitan isu perlombongan, isu kemusnahan flora dan fauna serta ekosistem yang ada di persekitaran Tasik Chini.

Tambahnya lagi, komitmen kerajaan negeri dan pihak yang berkaitan isu Tasik Chini untuk menerima saranan daripada Tuanku telah memberi sedikit kelegaan kepada penduduk.

Keindahan Tasik Chini yang mampu mengamit kehadiran pelancong.

“Kami penduduk Kampung Orang Asli Gumum menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada kerajaan negeri untuk terus membantu permasalahan dalam kampung Orang Asli sekitar Tasik Chini terutama dalam menambah baik sumber ekonomi penduduk.

“Turut perlu diberi perhatian berkaitan infrastruktur dalam kampung, serta menghidupkan kembali keindahan Tasik Chini yang sepatutnya menjadi tarikan pelancong dan lagenda Tasik Chini akan kembali terkenal dipersada dunia.

“Penduduk merayu supaya tiada lagi aktiviti pelombongan diadakan bagi memastikan Tasik Chini dapat dinikmati keindahannya sehingga anak cucu kami,” katanya.

Sebelum ini isu aktiviti melombong di kawasan Tasik Chini mencetuskan rasa tidak senang banyak pihak kerana ia mengundang kesan buruk pada alam sekitar seterusnya persekitaran tasik semulajadi itu.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *