Terengganu catat 21 kes COVID-19 varian Delta, Beta

 Terengganu catat 21 kes COVID-19 varian Delta, Beta

Gambar hiasan

[K}UALA LUMPUR, 14 Sept — Sebanyak 21 kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di Terengganu sejak akhir Julai lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes membabitkan varian Delta, manakala sembilan lagi varian Beta.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam catatan di akaun Facebook, tidak menolak kemungkinan varian itu sudah menular dengan meluas dalam komuniti di semua daerah dengan sekurang-kurangnya varian membimbangkan (VOC) dilaporkan di seluruh negeri kecuali daerah Kuala Nerus.

Katanya, lima kes VOC direkodkan di daerah Hulu Terengganu, masing-masing empat di daerah Besut dan Kuala Terengganu, Marang (tiga), Dungun (dua), Kemaman (dua) dan satu di Setiu.

“Fakta penting perlu diberi perhatian utama setiap rakyat adalah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

“Walaupun individu sudah mengambil vaksinasi, tetapi masih belum kebal sepenuhnya dan jangan leka anda masih perlu mengekalkan pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Jelasnya, sebahagian masyarakat mungkin tertanya-tanya mengapa perlu mengambil vaksin jika masih berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19.

“Pengambilan vaksin akan dapat membendung seseorang itu daripada mendapat jangkitan COVID-19 yang lebih teruk.

“Pastinya masyarakat semua tidak mahu diri sendiri, keluarga dan rakan mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk dan seluruh penduduk perlu mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sempit dan sesak serta sentiasa menjaga kebersihan diri dan tangan,” katanya.

Berdasarkan catatan itu juga, JKNT akan terus memantapkan aktiviti kawalan termasuk memperbanyakkan ujian saringan COVID-19 dan melakukan pengesanan kontak rapat serta pengasingan kes sebagai langkah kesihatan bagi membendung penularan varian itu dalam komuniti.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  3