• Sunday, 20 June 2021, 9:55 am

#WAAW: Terapi mental dan fizikal Siti Saleha

 #WAAW: Terapi mental dan fizikal Siti Saleha

PETALING JAYA : Akur dengan saranan kerajaan bagi mengekang virus COVID-19 daripada terus menular, pelakon Siti Saleha memilih untuk mengisi ruang dengan aktiviti berfaedah sebagai terapi.

Mengutamakan kesihatan fizikal dan mental secara seiring, Saleha berpendapat penting untuk melakukan aktiviti yang bertindak sebagai terapi untuk tubuh dan minda.

 

“Biarpun terpaksa duduk di rumah bagi mengikut saranan kerajaan, namun kita perlu melakukan aktiviti bagi memastikan kesihatan minda dan tubuh badan kekal terjaga.

“Sebagai contoh, saya menjadikan aktiviti menonton televisyen atau Netflix sebagai sebahagian daripada terapi diri. Malah, saya juga mengambil pendekatan memasak antara pilihan mengisi masa di rumah.

“Adakalanya melukis, membaca buku, mengemas rumah juga satu terapi. Ruang waktu yang ada sekarang saya gunakan juga untuk mengasah semula bahasa Perancis yang dipelajari menerusi YouTube,”katanya dalam sidang media secara maya drama berjudul Scammer, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu, kata Saleha, dia yang memegang watak Amy sekali lagi digandingkan dengan Kamal Adli sebagai pelakon utama.

Terbaru, kerajaan baru saja melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 1 Jun sehingga 14 Jun bagi membendung penularan virus COVID-19 yang semakin meruncing.

Tambah Saleha, memandangkan dia juga banyak bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan kandungan bahan media sosial, dia melihat tempoh berkurung dalam rumah kali ini juga membolehkannya lebih konsisten untuk tujuan tersebut.

“Kerjaya ini pun memerlukan saya untuk berinteraksi di media sosial sebagai duta produk dan pempengaruh.

“Tapi saya tak adalah anggap diri sebagai pempengaruh sangat, cuma bila ada pelbagai pihak nak bekerjasama, saya perlu juga gunakan media sosial dan menyediakan bahan kandungan demi pengikut dan peminat,”katanya.

Farhana Abd Rahman

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *