Tengku Zafrul yakin program vaksinasi akan pacu pemulihan ekonomi

 Tengku Zafrul yakin program vaksinasi akan pacu pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR, 29 Jan- Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melahirkan keyakinan bahawa program vaksinasi negara COVID-19  yang dijangka selesai pada suku pertama 2020, akan membantu memacu pemulihan ekonomi Malaysia. 

Beliau berkata Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer pada akhir Februari ini.

“Pembekalan vaksin dijangka bermula awal Mac dan selesai dalam tempoh 12 bulan atau menjelang Suku Pertama 2022,” katanya semasa program temu bual bersama CNBC hari ini.  

Program vaksinasi negara COVID-19 yang dijadual bermula awal Mac depan akan dilaksanakan secara berfasa bagi tempoh 12 hingga 18 bulan, dengan 80 peratus penduduk Malaysia, atau hampir 27 juta orang, dijangka menerima suntikan vaksin itu menjelang Suku Pertama 2022. 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia terus mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasarnya (KDNK) bagi 2021 pada 6.5-7.5 peratus dan sasaran defisit fiskal pada 5.4 peratus daripada KDNK tahun ini.

Beliau yakin ekonomi akan disokong oleh pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang bertujuan membantu pelbagai sektor serta perusahaan kecil dan sederhana serta mikro di negara ini.  

Apabila ditanya sama ada risiko defisit fiskal akan meningkat sekiranya kerajaan perlu lebih banyak peruntukan untuk memerangi lonjakan kes pandemik COVID-19 di Malaysia, Tengku Zafrul tidak menganggapnya begitu.

“Sekiranya kami perlukan lagi suntikan fiskal untuk merangsang ekonomi, ia akan memberi impak kepada sasaran defisit. Tetapi ia (suntikan fiskal) akan membantu (pertumbuhan) hasil dan KDNK, jadi sasaran (5.4 peratus) seharusnya kekal sama,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan masih sedang memantau dengan rapat situasi COVID-19.

“Jika sekiranya terdapat keperluan bagi suntikan fiskal untuk membantu memulihkan ekonomi dalam tempoh jangka pendek, ia adalah sesuatu yang kerajaan perlu lakukan. 

“Tetapi hari ini, kami masih mengekalkan belanjawan (Belanjawan 2021) yang baru-baru ini diluluskan oleh kerajaan,” katanya.

Malaysia merekodkan 4,094 kes baharu COVID-19 pada Khamis yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 198,208 kes setakat ini.

— BERNAMA

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  45  =  50