Tembok Keteri idaman pendaki dunia

 Tembok Keteri idaman pendaki dunia

Oleh Mohd Kamal Ahmad

PERLIS, 23 Feb: Dua bungkah ‘gergasi’ membentuk dua puncak Bukit Keteri, dekat Chuping. Strukturnya umpama batu yang tumbuh dikelilingi sawah padi. Di kaki bukit itu terdapat takungan yang menjadi ulu parit kecil. Ia menjadi destinasi rock climbing yang mencabar di Asia. Keunikannya telah menggamit ratusan pendaki dari seluruh dunia setiap bulan untuk mencabar struktur yang menjadi halangan untuk menawan bukit batu kapur itu.

Bukit 65 meter ini mempunyai 50 laluan berbatu dan antara laluan pendakian bukit paling sukar dan mencabar. Bukit Keteri juga adalah antara lokasi terbaik untuk menyaksikan panorama waktu fajar dan matahari terbenam di Perlis.  Di kalangan pendaki, dua puncak bukit itu dikenali sebagai Keteri South dan Keteri West.

Operator perkhidmatan mendaki, Salikin Che Selimen atau Pak Kim, berkata pada ketinggian 35 meter, terdapat gua dan kalangan aktivis sukan  itu menyebutnya sebagai Station, Tangga Klasik, Belly Button Window, Giant Cave, Robot Wall dan Mata Timur. Untuk tiba ke gua ini, ia mengambil masa sehingga beberapa jam kepada pendaki amatur.

“Mengikut rekod peribadi, lebih 100 orang mendaki Bukit Keteri dalam sebulan. Ia menjadi tumpuan kerana tahap kesukarannya,” katanya merujuk kepada pelangganya ke bukit itu sebelum negara dilanda COVID-19.

Aktiviti yang boleh dilakukan di Bukit Keteri ialah menjelajah gua, via Ferrara, rock climbing, abseiling dan berkhemah dalam gua.

“Halangan yang terdapat di sini ialah pendaki harus memakai peralatan keselamatan mendaki dan berjalan di tepi tebing ketinggian 20 meter panjang lebih kurang 300 meter,” kata pengasas Perlis Mountaineering Savior (PEMOS) itu.

Dari segi geologi, Bukit Keteri terletak di permatang bukit batu kapur sebelah timur Formasi Chuping yang turut membentuk Bukit Gua Sami, Bukit Jernih dan Bukit Chuping. Semua bukit itu mempunyai fosil berusia trias. (Nota: Tempoh Trias atau Triassic Period dianggarkan 201-252 juta tahun lalu. Ia bermula setelah peristiwa kepunahan terburuk pernah terjadi di bumi dan menghancurkan kehidupannya. Kejadian kepupusan Permian-Triassic juga dikenali sebagai Great Dying kira-kira 252 juta tahun lalu dan merupakan antara peristiwa paling penting dalam sejarah planet kita). Formasi Chuping membentuk mogot dan pinakel. Ia turut membentuk permatang sebelah barat. Formasi Chuping adalah satu daripada tujuh bahagian formasi litostratigrafi negeri Perlis.

Pak Kim berkata, Bukit Keteri adalah sebaris dengan nama destinasi kembara lain seperti Gunung Perlis, Bukit Pelarik, Gua Kelam, Tasik Timah Tasoh, Bukit Chabang, Bukit Jernih, Bukit Chuping, Bukit Cenderawasih serta Pintu Wang Gunung.

Bagi pendaki yang mahu menyahut cabaran, mereka dikenakan bayaran antara RM50 hingga RM150 seorang. Eksplorasi pendakian lazimnya mengambil masa 3 hingga 4 jam bergantung kepada stamina serta kemahiran.

Katanya, tiada mitos atau kisah lagenda di Bukit Keteri yang pernah diceritakan oleh penduduk sekitar. Ini berbeza dengan Wang Gunung, antara gunung yang terdapat di Perlis dengan ketinggian 499 meter. Mitos Wang Gunung ialah, sekitar tahun 1800, kawasan Wang Gunung menjadi kediaman dan lokasi perkampungan. Penghulunya dikenali sebagai Awang Gunung, seorang panglima yang sangat handal dan sentiasa melindungi penduduk. Beliau juga berperanan sebagai wakil kerajaan ketika itu untuk menghantar ufti bunga emas kepada Kerajaan Siam. Kegagahan dan keberanian Awang Gunung ini menjadi bualan masyarakat setempat dan mitos Wang Gunung sentiasa berkait rapat dengan  kewujudan Awang Gunung. (Nota: Wang di dalam Bahasa Thailand bermaksud lembah).

Pak Kim berkata, Wang Gunung dalam daerah Batu Pahat dan terletak di Banjaran Nakawan sepanjang 32 kilometer yang turut dikongsi dengan Thailand.

“Wang Gunung ada keistimewaan tersendiri dan terbentuk terdiri daripada batu kapur jenis limestone. Terdapat 14 check point di sana yang kerap dikunjungi pendaki gunung,” katanya sambil memberitahu tempoh untuk menyempurnakan pendakian dianggarkan antara 3 hingga 4 jam.

Pakej untuk ke sana ialah RM300 untuk maksimum 10 pendaki dengan seorang juru pandu gunung.

Selepas penat lelah mendaki, peserta boleh berehat di campsite Bukit Jernih atau menginap di homestay Jernih Basecamp.

“Pendaki juga boleh menikmati cendol, nira nipah , air tebu, mangga Harumanis (bergantung pada musim pada Mei hingga Jun) dan macam-macam lagi. Jangan lupa menikmati laksa Kuala Perlis!” katanya.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

71  −    =  67