Tembak mati harimau kumbang jantan serang pegawai Perhilitan

 Tembak mati harimau kumbang jantan serang pegawai Perhilitan


PETALING JAYA : Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terpaksa menembak mati seekor harimau kumbang jantan yang meluru ke arah mereka dan dipercayai menyerang remaja Orang Asli di Kampung Kelatap dekat Pos Pewor, Lasah, Sungai Siput, Perak.

Memetik laporan Harian Metro, pengarah Perhilitan,Yusof Shariff berkata, haiwan dengan anggaran usia sembilan hingga 10 tahun itu ditembak mati pagi tadi sebaik saja haiwan terbabit meluru ke arah anggota Perhilitan yang sedang membawa perangkap bersesuaian untuk dipasang.

Katanya, tujuan perangkap dipasang adalah bagi menangkap haiwan yang dikatakan menyerang remaja berkenaan selepas pihaknya dimaklumkan oleh tok batin bahawa mangsa tidak pasti haiwan apa yang menyerangnya.

“Ketika menghampiri kawasan semak berhampiran kebun getah, empat kakitangan Perhilitan yang ditugaskan bagi tujuan itu dikejutkan dengan seekor harimau kumbang yang meluru ke arah seorang daripada mereka.

“Dalam keadaan terdesak dan cemas, seorang kakitangan melepaskan tiga das tembakan yang mengenai harimau kumbang berkenaan,” katanya sewaktu dihubungi Harian Metro.

Jelasnya, penelitian terhadap bangkai harimau kumbang mendapati banyak kesan tetakan dipercayai menggunakan parang pada kepala serta paha haiwan itu yang dipercayai ketika bergelut dengan mangsa semalam.

“Sebelum itu kakitangan Perhilitan turut menemukan beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau dan juga kesan darah yang masih baru pada rumput dan daun.

“Serangan melulu harimau kumbang terbabit menyebabkan seorang anggota terjatuh kerana terkejut bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Yusof berkata, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput sebelum akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk menjalani bedah siasat.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang remaja Orang Asli cedera selepas diserang binatang buas ketika mencari kayu di hutan berhampiran rumahnya dekat Lasah, di sini, petang semalam.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

13  +    =  22