Tembak dan sumbat mayat isteri dalam tong

 Tembak dan sumbat mayat isteri dalam tong
Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU, 5 Mac — Seorang suami menembak mati isterinya di bahagian dada dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa tidur disebabkan cemburu dalam kejadian di Taman Saujana, Kota Tinggi, 1 Mac lalu.
Pemandu jengkaut itu kemudian menyumbat mayat isterinya di dalam tong plastik sebelum ditanam di sebuah ladang di Bandar Penawar  kira-kira 30 kilometer dari rumah mereka.
Lelaki itu mengorek lubang sedalam dua meter menggunakan jengkaut lalu menanam tong air berisi mayat isterinya yang berusia 38 tahun di ladang tersebut kira-kira 4.30 pagi pada hari sama.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan orang hilang melibatkan seorang wanita yang mempunyai dua orang anak di Kota Tinggi.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja sebagai kerani swasta dikatakan keluar rumah kira-kira jam 2 pagi akibat berlaku perselisihan faham dengan suaminya.
Katanya, susulan siasatan membawa kepada penahanan dua individu iaitu suami mangsa dan seorang rakan lelakinya berusia 32 tahun untuk membantu siasatan.
Hasil siasatan lanjut, suami mangsa mengaku membunuh isterinya di rumah ketika tidur menggunakan senapang angin sebelum dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.

Bercakap pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini, Datuk Ayob Khan berkata, pada jam 10.30 pagi, dengan dipandu arah oleh suspek, mayat mangsa ditemukan ditanam sedalam dua meter di kawasan ladang berkenaan, semalam.

Datuk Ayob Khan menunjukkan gambar dua suspek termasuk suami mangsa yang ditembak di rumah mereka di Kota Tinggi, Isnin lalu
Menurutnya, polis merampas selaras senapang angin, senapang patah, 54 butir peluru penabur, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero serta sebuah jengkaut.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai surat tuntutan fasakh dan dipercayai mereka dalam proses perceraian. Sebelum ini, mangsa tidak pernah membuat laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga.
“Siasatan lanjut mendapati suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau kes pemilikan senjata api dan mendatangkan kecederaan dan kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Rabu depan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 36 Akta Senjata Api 1960.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  4  =