Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Teluk Marudu `The lost world’ permata baru pelancongan utara Sabah

Pemandangan waktu senja di Teluk Marudu. – Gambar Ihsan Awang Omar
KOTA MARUDU, 23 Jun – Jika disebut destinasi pelancongan di utara Sabah khususnya bahagian Kudat yang meliputi Kudat, Kota Marudu dan Pitas, pasti pelancong domestik dan antarabangsa lebih mengenali Tanjung Simpang Mengayau – The Tip of Borneo di Kudat.
Terletak di penghujung Borneo dan terkenal dengan pertemuan dua laut iaitu Laut China Selatan dan Laut Sulu menjadikan Tanjung Simpang Mengayau destinasi pelancongan terkenal di peringkat dunia sehingga menenggelamkan nama destinasi pelancongan lain di utara Negeri di Bawah Bayu.

Tidak ramai yang tahu di bahagian Kudat juga ada destinasi pelancongan menakjubkan seperti Pulau Supirak di Pitas yang terkenal dengan legenda anak derhaka disumpah menjadi batu seperti mitos Si Tanggang dan Teluk Marudu `The lost world’ permata baru pelancongan utara Sabah.
Teluk Marudu memiliki pantai yang bersih sesuai dijadikan destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar atau eko pelancongan serta terkenal kerana keunikan terumbu karang dengan kepelbagaian hidupan laut serta paya bakau.

Diwartakan sebagai Taman Marin Tun Mustapha, Teluk Marudu yang kaya dengan biodiversiti mempunyai 60 spesies burung, mamalia dan reptilia hampir pupus yang menjadi daya tarikan pelancong.
Penggerak Bengkongan Eko Pelancongan, Awang Oting, berkata gelaran `Teluk Marudu The lost world’ diberikan sekumpulan pelancong dari luar negara yang pernah singgah Teluk Marudu beberapa tahun lalu.
Ini kerana katanya, walaupun destinasi pelancongan itu ada potensi menarik dikunjungi pelancong domestik dan antarabangsa, namun lokasi beberapa kampung yang mempunyai pemandangan indah tetapi sukar dikunjungi kerana ketiadaan perhubungan jalan raya sempurna menjadikannya seolah-olah `hilang di dunia’.

Beliau berkata, menyedari potensi Kampung Bengkongan dan lapan kampung di sekitarnya sebagai destinasi pelancong menakjubkan, mereka bergabung mewujudkan Persatuan Eko Pelancongan Teluk Marudu (MBET) hujung tahun lalu.
MBET diasaskan oleh bekas guru SK Bengkongan, Asbin Konsirong selaku Pengerusi; Awang Oting @ Omar (Timbalan Pengerusi) dan Setiausaha Majis Tindakan Pelancongan Kota Marudu, Janes Kansirong yang juga Pengurus Besar Peladang Kota Marudu.
“Penduduk kampung didiami masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya bersatu mendirikan kemudahan asas pelancongan seperti `pondok ala resort kampung’ dan bergotong-royong membersih dan menceriakan destinasi berkenaan.

“Selain Bengkongan, kampung lain termasuk Minansad, Puka, Tonsom, Mangin, Mangin 2, Bukit Lalang, Langkun dan Mangaris ang didiami masyarakat Bajau, Tobilung, Sungai, Iranun, Kagayan, Iban, Rungus, Kimaragang, Paitan dan Suluk,” katanya kepada Wacana.my, di sini.

Mengenai produk pelancongan, Awang yang juga pelantun lagu Bajau berjudul `Nemparung’, berkata ia termasuk monyet `bangkatan’ atau `proboscis monkey’, kelip-kelip dan menyusuri hutan paya bakau antara terpanjang di Malaysia yang diliputi pokok paya bakau gergasi dan berusia ratusan tahun.
Katanya, penduduk akan membina lebih banyak pondok di pesisir pantai tempat bersantai dan memancing ikan, ketam dan mengutip lokan.

Beliau berkata, pelancong juga boleh menempah masakan kampung dengan harga berpatutan.
“Kami amat bertuah kerana wakil rakyat terutama Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Sarawak turut membantu menyediakan peruntukan untuk pembinaan jalan ke lokasi pelancongan.
“Kami percaya, sebaik dunia bebas daripada pandemik COVID-19, Teluk Marudu `the lost world’ akan muncul destinasi pelancongan alam sekitar antara terunggul di Sabah” katanya.