Team Amal Kazuko santuni Orang Asli Bateq, sumbang 20 bakul makanan

 Team Amal Kazuko santuni Orang Asli Bateq, sumbang 20 bakul makanan

JERANTUT, 29 Ogos — Seramai 20 keluarga Orang Asli gembira apabila mendapat bantuan keperluan makanan asas di Tahan, hari ini.

Mereka yang terdiri daripada suku kaum Bateq, menerima kunjungan NGO Team Amal Kazuko yang menaiki bot meredah sungai di Taman Negara Kuala Tahan.

Antara pemberian sumbangan makanan asas tersebut adalah beras, minyak masak, gula, tepung dan bihun.

Presiden Team Amal Kazuko, Datuk Seri Hisham Abdul Wahab berkata inisiatif ini digerakkan secara spontan setelah selesai menyerahkan bantuan bakul makanan di DUN Tahan, semalam.

“Semalam, kami menyerahkan bantuan bakul makanan di Pejabat DUN Tahan, melalui YB Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin.

“Dan hari ini, setelah kami mendapat tahu di kawasan ini juga ada penduduk Orang Asli suku kaum Bateq tinggal di pesisiran sungai berdekatan sini.

“Secara spontan, kami gerakkan pembelian bakul makanan untuk diberikan kepada mereka,” katanya, yang juga Pengerusi Federal Power Holdings Sdn Bhd, selepas menyampaikan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli di sini.

Pemandangan perkampungan Orang Asli di Kampung Tersek Baru, tebing Sungai Tembeling yang terletak di hutan simpan Taman Negara Kuala Tahan itu sangat jarang ditemui.

Kehidupan dan gaya hidup suku kaum Bateq dikategorikan sebagai separuh primitif, serba-serbi kekurangan, tiada kemudahan asas, namun itulah ‘syurga’ mereka.

Hasil hutan dan sungai dianggap nadi untuk meneruskan kehidupan. Mereka hanya ke pekan berdekatan sebulan sekali untuk membeli keperluan asas terutama beras, minyak masak dan kopi.

Suku kaum Bateq mahir menggunakan sumpit untuk berburu di hutan, menjadikan monyet, tupai, kera dan burung sebagai sumber makanan.

Mereka tidak menggunakan pemetik api, sebaliknya kaedah kuno seperti rotan dan kayu meranti yang digesel selama beberapa minit untuk mengeluarkan haba, lalu terhasillah bara yang akhirnya mengeluarkan api untuk mereka memasak.

Apabila hasil hutan hampir kehabisan di kawasan berkenaan, mereka akan berpindah mencari penempatan baharu.

Mereka kerap berpindah-randah demi kelangsungan hidup dan lazimnya hanya ada 10 hingga 15 keluarga sahaja dalam perkampungan yang baharu diteroka.

Mengikut kepercayaan suku kaum Bateq, remaja lelaki yang hebat berburu menggunakan sumpit dan cekap menyalakan api menggunakan rotan serta kayu meranti, layak untuk berumah tangga.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +    =  6