Tawau bandar terpendek ejaan di Malaysia?

 Tawau bandar terpendek ejaan di Malaysia?

Landskap menggunakan seni arca huruf jawi `Ta dan Wau’ yang seolah-olah ejaan Tawau.

TAWAU, 17 Jun – Dengan hanya dua huruf jawi iaitu `Ta dan Wau’, Tawau mungkin bandar atau daerah di Malaysia paling pendek ejaannya.

Ejaan itu terpampang pada landskap Taman Traulsen di tepian Pantai Sabindo, di sini yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pelancong untuk bersantai pada waktu petang dan hujung minggu.

Dibina pada Mei 2019, ejaan itu menarik perhatian masyarakat kerana belum ada bandar yang menggunakan ejaan hanya dua huruf di negara ini. Sekurang-kurangnya ia menggunakan tiga huruf seperti Sik di Kedah dan Bau di Sarawak.

Pasar Seni lebih dikenali Pasar Gantung bagi masyarakat Tawau. Foto WMY/ Mohd Azrone Sarabatin.

Bagaimanapun, mengikut Pusat Maklumat Rakyat Tawau, Ta (ت) dan Wau (و) bukan abjad jawi yang merujuk kepada ejaan Tawau, sebaliknya ia adalah sebuah arca dijadikan landskap bandar itu.

Reka bentuk itu adalah kreativiti Arkitek Landskap, Jabatan Lanskap Negara (JLN) bertujuan memberikan kelainan dan keunikan untuk menarik minat pengunjung yang secara tidak langsung mempromosikan keunikan dan keindahan bandar Tawau.

Ramai yang menganggap ia adalah tulisan rumi kepada jawi. Dari sudut pandang arkitek landskap, ia bukan merujuk kepada ejaan jawi tetapi satu bentuk arca yang menggunakan dua huruf dalam jawi yang sekiranya diletakkan bergandingan, pengunjung akan menyebut huruf `ta dan wau’ yang secara tidak langsung bunyinya menjadi `Tawau’.

Pasar Tanjung Tawau menjual pelbagai barangan makanan kering seperti ikan masin, bilis dan udang kering gred A dikatakan paling murah di Malaysia. Foto WMY/ Mohd Azrone Sarabatin.

Di bawah arca itu ada tulisan rumi yang jelas ejaan Tawau supaya tidak mengelirukan pengunjung bahawa landskap berkenaan merujuk kepada ejaaan bandar yang menempatkan pelabuhan ketiga terbesar di Sabah.

Usaha penulis bersama keluarga mengunjungi Taman Traulsen untuk melihat arca berkenaan awalnya mengalami kesukaran kerana masyarakat setempat lebih mengenali lokasi berkenaan sebagai pantai `Highway Tawau’.

Ini berikutan lokasinya di tepian lebuh raya di pesisir Pantai Sabindo yang menghadap Pulau Sebatik dikongsi dua negara iaitu, Malaysia dan Indonesia.

Selain Taman Traulsen, ada sebuah lagi lokasi yang sukar dicari iaitu Pasar Seni atau Central Market Tawau kerana masyarakat setempat memanggilnya `Pasar Gantung’.

Pasar Kongfah, Tawau menjual beraneka kuih muih tempatan. Foto WMY/ Mohd Azrone Sarabatin.

Pasar Gantung menempatkan lebih 100 lot gerai menjual pelbagai barangan termasuk kraftangan tempatan, makanan tradisi dan pakaian.

Satu lagi tarikan Tawau adalah Pasar Tanjung Tawau di Jalan Dunlop, berhampiran laut dan bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau.

Pasar berkenaan menjual pelbagai barangan makanan kering seperti ikan masin, bilis dan udang kering gred A dikatakan paling murah di Malaysia, selain keropok seperti `amplang’ dan `balinju’ dalam bahasa tempatan yang popular di daerah itu.

Lebih menarik ada ketuhar kayu api dijual di situ menggunakan arang atau kayu api, selain peralatan dapur seperti periuk, kuali dan belanga.

Jika mahu menikmati makanan seperti kuih muih jarang ditemui, martabak Jawa, soto Banjar dan `sanggar’ (goreng pisang) boleh berkunjung ke Pasar Kongfah yang asalnya panggung wayang.

Mohd Azrone Sarabatin

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *