• Thursday, 17 June 2021, 1:14 pm

Tapir jantan mati dilanggar kereta

 Tapir jantan mati dilanggar kereta

Tapir jantan mati dilanggar kereta di Kilometer 200 menghala ke Kuantan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, malam tadi. (Gambar ihsan Perhilitan Pahang).

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 27 Mei – Seekor tapir jantan seberat 220 kilogram (kg) mati dilanggar kereta milik pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang di Kilometer 200 menghala ke Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kejadian kira-kira 8.50 malam itu, dipercayai ketika haiwan berumur 10 tahun itu melintas jalan.

Menurutnya, kiri dan kanan LPT itu adalah awasan Hutan Simpan Berkelah dan kejadian kemungkinan tapir jantan itu melalui tepi Sungai Berkelah sebelum masuk ke LPT seterusnya berlaku kemalangan.

“Pegawai Perhilitan Maran segera ke tempat kejadian untuk menyiasat kejadian yang berlaku dan bangkai haiwan terbabit dibawa ke kawasan tol Sri Jaya.

“Kemalangan berlaku membabitkan kenderaan yang membawa Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman. Pemandu dan penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya, di hubungi di sini hari ini.

Rozidan berkata, tahun lalu sebanyak lima tapir mati dilanggar kenderaan dan dalam tempoh lima bulan tahun sebanyak tiga lagi mati
di negeri ini.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan Perhilitan Pahang dalam memastikan episod kematian tapir diatas jalan negeri dan Persekutuan tidak terus berlaku, antaranya menambah jumlah papan tanda peringatan kawasan haiwan terbabit melintas yang diharap dapat mengingatkan pemandu supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *