Tapir jantan dewasa mati dipercayai dilanggar kenderaan

 Tapir jantan dewasa mati dipercayai dilanggar kenderaan

KOTA TINGGI, 16 Jun – Seekor tapir jantan dewasa ditemukan mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di tepi Jalan Bukit Aping-Kangkar Papan, di sini malam semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.20 malam memaklumkan terdapat seekor tapir mati kira-kira 1.5 kilometer dari Stesen Petronas Waha menghala ke Kota Tinggi.

“Pasukan dari Pejabat Perhilitan Bandar Penawar digerakkan dan siasatan di lapangan mendapati bangkai seekor tapir jantan dewasa dianggarkan seberat 300 kilogram ditemui di tepi jalan itu dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan.

Seekor tapir jantan dewasa ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di tepi Jalan Bukit Aping-Kangkar Papan, Kota Tinggi malam semalam. Foto WMY/Nurman Nasyriq

“Namun, tiada penemuan kenderaan yang melanggar tapir tersebut di lokasi kejadian. Pihak jabatan telah mengambil ukuran asas morfologi dan bangkai tapir dibawa ke pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk dilupuskan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tapir itu dipercayai telah tersasar dari habitatnya di Hutan Simpan Seluyut semasa mencari makanan sehingga melintasi jalan ke Felda Bukit Waha.

Kejadian tapir mati dilanggar itu adalah kes ketiga di negeri ini pada tahun ini dengan yang pertama pada 27 Mac lalu melibatkan seekor tapir jantan di Jalan Jemaluang-Mersing, kedua pada 6 April lalu di Jalan Sedili-Tenggaroh, juga melibatkan seekor tapir jantan.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

54  −    =  47