Tangkap gajah jantan kawasan perumahan

 Tangkap gajah jantan kawasan perumahan

Gajah jantan yang berjaya ditangkap kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri.

ROMPIN, 27 November 2021 – Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh berjaya menangkap gajah jantan yang berada dalam kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri, di sini semalam.


Haiwan dianggar berusia antara 15 hingga 20 tahun itu dipercayai keluar daripada kawasan Hutan Simpan Menchali, di sini untuk mencari makan dan kali terakhir dilihat di kawasan terbabit pada Isnin lalu.


Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, selepas menerima aduan penduduk setempat yang melihat kehadiran gajah berkenaan berada dibelakang rumah mereka usaha mengesan segera dilakukan semalam.


Menurutnya, operasi mengesan jejak haiwan liar berkenaan menemui kejayaan dan kira-kira 11 pagi semalam gajah terbabit berjaya ditangkap di kawasan semak berhampiran perumahan nelayan Sungai Puteri.


Katanya, gajah jantan dengan ukuran tapak kaki kira-kira 2.5 sentimeter itu mempunyai sepasang gading, haiwan terbabit dipercayai keluar daripada kawasan habitat untuk mencari makan di beberapa tempat yang terletak berhampiran hutan.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman


“Operasi mengesan dan menangkap gajah berkenaan disertai lebih 20 anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) PKGK Kuala Gandah dan UTG Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dibantu kakitangan Perhilitan Rompin.


“Kedudukan haiwan terbabit di kawasan penempatan penduduk dan hutan kecil memudahkan operasi mengesan seterusnya menangkap sebelum dipindahkan,” katanya, di sini hari ini.


Beliau berkata, pihaknya memandang serius kehadiran gajah di kawasan perumahan nelayan Sungai Puteri kerana ia boleh mengancam keselamatan penduduk setempat, kejadian buruk boleh berlaku pada bila-bila masa terutama pada waktu malam.


Che Ku Mohd Zamzuri berkata, untuk memastikan penduduk setempat tidak bertindak menghampiri gajah yang telah diikat, laluan ke kawasan berkenaan terpaksa ditutup sementara.


“Kita akan memindahkan gajah berkenaan dalam masa terdekat dengan bantuan dua ekor gajah denak,” katanya.
Sementara itu beberapa penduduk perumahan nelayan Sungai Puteri yang ditemui berkata, mereka bersyukur dengan kejayaan PKGK Kuala Gandah menangkap gajah yang sebelum muncul di kampung mereka.


Katanya, diharapkan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi kerana haiwan liar berkenaan boleh mengancam nyawa penduduk.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +    =  10