• Sunday, 20 June 2021, 8:52 am

Tangguh peperiksaan, PdPR tidak halang cemerlang SPM 2020

 Tangguh peperiksaan, PdPR tidak halang cemerlang SPM 2020

PASIR GUDANG, 11 Jun — Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai di sini berjaya mengharungi segala cabaran belajar semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dengan memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Muhammad Azri Shah Azian, 19, dari Jalan Exora 43, Bandar Bistari Perdana juga berjaya menguruskan emosi dan tekanan yang dilaluinya akibat penangguhan peperiksaan SPM 2020.

Namun semua itu termasuk kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) membuktikannya mampu memperoleh keputusan cemerlang.

Semua itu termasuk PdPR bukan satu halangan untuk berjaya kerana semua itu bergantung kepada kemahuan dan usaha sendiri.

“Pada saya kalau kita mahu berjaya semua itu bergantung kepada diri sendiri. Semasa PdPR, saya berusaha sendiri menampung keperluan mengulang kaji matapelajaran yang lemah dengan merujuk Youtube.

“Apabila saya lewat bangun dan tertinggal PdPR, saya akan bertanya kepada cikgu dan rakan sekelas. Ini perlu saya lakukan kerana tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Dalam peperiksaan percubaan SPM 2020 lalu, anak sulung daripada lima beradik itu memperoleh keputusan A dalam semua sembilan mata pelajaran.

Kejayaan tersebut juga adalah kerana disiplin yang dilakukan di rumah dengam menetapkan waktu untuk belajar dan ibu bapanya hanya memantau tetapi tidak mengongkongnya.

Dia yang gemar melukis berhasrat melanjutkan pelajaran ke Jepun dalam bidang teknologi dan sains atau negara luar lain.

“Saya berminat menyambung pelajaran ke Jepun kerana bidang teknologi dan sains di negara itu sangat maju. Minat dengan negara Jepun sudah lama, saya pernah mengambil kelas bahasa Jepun semasa Tingkatan Satu dan Dua.

“Disebabkan mahu fokus terhadap pelajaran, saya tidak meneruskan kelas bahasa Jepun,” katanya sambil memberitahu, sekiranya tidak mendapat tawaran luar negara, dia tidak kisah menyambung pelajaran dalam negara.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *